Assalamu'alaikum.. Semoga Allah terus merahmati kita semua. Sudah lama rasanya tidak tidak menulis, sehari seperti seminggu dan seminggu seperti sebulan.
Hari ini perasaanku berjaya mendesakku untuk menulis tentang peristiwa yang aku temui 5 hari yang lalu. Sebenarnya, aku enggan menceritakannya di dalam blog ini. Tetapi dengan perkongsian ini dapat meningkatkan iman kita.
Kedengaran suara seorang perempuan Indonesia meminta tolong dari luar masjid. Suara itu memecahkan suasana pagi juga mengejutkan mereka yang berada di dalam masjid itu.
Memang menjadi kebiasaan setiap pagi selepas waktu subuh, ada la beberapa orang pak cik yang meluangkan waktu untuk membaca Kitab Suci Al-Quran dan juga bertafakur serta memuji Allah. Mereka segera mendapatkan suara itu untuk mengetahui apa yang berlaku.
Aku juga terus bangun dan segera ke arah suara itu muncul. Entah kenapa tiba-tiba saja hatiku rasa kurang enak. Masya'Allah, aku terkejut melihat seorang lelaki yang berdarah di kepala dan juga perutnya yang sudah dibalut dengan bajunya sendiri. Lelaki indonesia itu ialah suami kepada perempuan yang meminta tolong sebentar tadi.
''Suami saya ditikam orang, tolong pak, hantarkan ke hospital.'' Beritahu isteri lelaki tersebut sambil menangis.
''Kami nak pergi kerja.Tadi ada 4 orang india belasah seorang lelaki cina, saya berhenti la tanya apa hal? Tiba-tiba mereka besah saya, mereka pukul kepala saya dengan botol dan tikam perut saya dengan botol tadi yang sudah pecah.'' sambung lelaki itu sambil tangannya menutup luka diperutnya daripada lebih banyak darah yang keluar.
''Cepat la hantar dia ke hospital, dah banyak darah yang keluar tu.'' Rayu isterinya kepada orang ramai sambil sebak kesedihan. ''Jangan risau, tak apa, ini semua takdir Allah.'' Kata lelaki itu dalam keadaan menahan kesakitan untuk menenangkan isterinya. Aku tidak pula mendengar dia mengutuk atau memaki hamun orang yang membelasahnya sebaliknya mengulangi menyebut kalimah-kalimah membesarkan Allah. Dengan takdir Allah, ada seorang pak arab yang kebetulan ada di masjid itu merelakan diri untuk menghantar lelaki itu ke hospital, lalu terus berkejar mengambil keretanya.
'Alhamdulillah, lelaki ini dapat dibawa kehospital dengan adanya kereta pak arab ni.' Bisikku di dalam hati. Ketika lelaki tadi dibawa untuk naik ke kenderaan berupa Toyota Hilux, sempat lelaki itu meminta izin kepada tuan punya Hilux,''biarlah saya duduk di belakang ni je, nanti kotor kereta bila saya duduk di dalam''. Walaupun dalam keadaan yang parah, masih sempat untuk dia membalas budi tanda syukur kepada Allah.
''Tak apa, masuk dalam.'' Kata pak arab dengan sebutan melayu arabnya. '' Tapi saya tak tahu jalan ke hospital.'' Sambung pak arab itu. ''Saya boleh tunjukkan.'' Jawabku ringkas lalu terus masuk dan duduk di sebelah lelaki yang parah itu. Kereta terus dipandu laju menuju ke hospital.
Semasa dalam perjalanan ke hospital, isteri lelaki tadi yang ada bersama masih merisaukan keselamatan suaminya kerana melihat darah yang tidak henti keluar dari luka di perutnya. Ye lah, siapa yang tidak sayangkan suami. Aku terkejut kecil bila ternampak cebisan daging yang berada dibawah bahagian lukanya. Dia cuba untuk menyembunyikan kesakitan yang dialami untuk merisaukan isterinya. ''Tak apa, mungkin ini darah kotor yang keluar, semua ini kehendak Allah.'' sekali lagi lelaki itu cuba menenangkan isterinya. Kata-kata tersebut benar-benar menyentuh perasaanku. ''Ya Allah, mulianya hati lelaki ini. Ya Allah, selamatkanlah dia.'' Bicaraku di dalam hati.
Lelaki itu selamat sampai di HKL lalu dia dibawa wad kecemasan. Sedang beliau ditolak dengan katil beroda ke dalam wad, sempat lagi dia mengangkat tangan serta memberi salam kepada kami.
Dalam perjalanan pulang, saya dan Mustofa iaitu pak arab yang bersama saya memuji sikap lelaki indon tadi. Kami kagum dengan keberanian dan juga kemulian hatinya. Sehingga ke hari ini, aku masih tidak dapat melupakan lelaki itu dengan kata-katanya, walau dia kelihatan agak biasa pada hari musibah menimpanya dengan berbaju t-shirt dan berseluar jean. Secara jujur 'aku kagum dengan dia' aku kagum dengan keimanan yang dia miliki. Semoga sentiasa mendapat redha Allah.
No comments:
Post a Comment