Abu Ubaidah al-Jarrah dan pasukan tenteranya sampai ke pinggir kota Hims. Mereka dapati benteng kota itu dikawal ketat beribu-ribu tentera Rom. Abu Ubaidah al-Jarrah mendapat tahu, Raja Kaisar Herculis sudah berpindah ke kota Antakia. Walaupun raja Rom itu sudah berpindah, Abu Ubaidah tetap berazam mahu menakluk kota Hims kerana itu arahan daripada Khalidah Umar al-Khatab. Beliau memerintahkan tenteranya berkhemah di luar kota.
Ketika itu musim sejuk. Kesejukan hingga mencengkam ke tulang. Tentera Islam hanya berbaju nipis dan berselipar. Mereka menderita kesejukan. Keadaan bertambah parah apabila malam menjelma. Hanya unggun api dapat memanaskan tubuh mereka yang kesejukan. Ramai antara mereka yang mengalami kekejangan otot akibat kesejukan. Namun keadaan itu tidak sedikit pun menggugat ketabahan mereka supaya terus bertahan.
Panglima Vartanius memerhati ke luar kota. Dia terkejut walaupun cuaca sejuk melanda. Dia hairan melihat keadaan tentera Islam. Mereka masih bertahan dalam kesejukan tanpa pakaian yang lengkap serta tiada apa yang dapat memanaskan badan kecuali unggun api yang hanya dipasang pada waktu malam. Sedangkan tentera Rom memakai kasut but, ramai antaranya yang tercabut jari kaki akibat kesejukan melampau.
Walaupun keadaan tentera Islam yang serba kekurangan, dengan kekuatan yang dikurniakan oleh Allah mereka masih mampu bertempur dengan tentera bantuan yang dihantar oleh Raja Kaisar Herculis. Pertempuran yang berlaku di luar kota Hims itu berakhir dengan kemenangan kepada tentera Islam. Panglima Vartanius memgambil keputusan untuk meninggalkan kota Hims dan mengarahkan pasukannya berundur ke kota Aleppo kerana yakin bahawa mereka akan terbunuh sekiranya masih mahu bertahan di dalam kota tersebut.
Di dalam kota Hims, masih ramai penduduk serta tentera Rom yang sedang bertahan di situ. Mereka bimbang tentera Islam dapat memasuki ke dalam kota itu lalu mengunci pintu kota dengan lebih kuat. Kemudian mereka berlindung di dalam gereja-gereja sambil ditenangkan oleh paderi-paderi. Keadaan di luar kota membimbangkan penduduk kota Hims. Mereka semakin diburu ketakutan apabila mereka mengetahui pasukan tentera Rom tewas dan Panglima Vartanius melarikan diri ke kota Aleppo. Kini, kota Hims diibaratkan seperti kapal tanpa nahkoda. Tentera Rom yang mengunci diri di dalam rumah dan gereja, enggan membukanya.
Walaupun tentera Islam sudah dapat mengalahkan tentera Rom yang mempertahankan kota Hims tetapi masih tidak dapat memasuki kota tersebut. Setelah perbincangan dibuat bersama panglima-panglima yang ada termasuk Khalid bin Walid, Abu Ubaidah al-Jarrah mencadangkan supaya mereka memohon kepada Allah.
Malam itu selepas solat isyak, Abu Ubaidah al-Jarrah bersama tentera Islam melakukan sembahyang hajat di luar kota Hims. Kemudian mereka bertakbir beramai-ramai. Suara takbir bergema ke angkasa. Menakutkan tentera Rom yang berlindung di dalam kota. Tentera Islam terus bertakbir sambil memohon ditunjukkan jalan bagi memasuki kota Hims.
Dengan kehendak Allah. Berlaku gegaran sehingga kota Hims bergegar. Tentera Islam terus bertakbir dan gegaran itu terasa semakin kuat. Di dalam kota Hims, keadaan pada masa itu menjadi kelam-kabut dan tunggang-langgang. Orang ramai bertempiaran lari kerana takut. Tentera Islam pula menganggap itu adalah pertolongan daripada Allah lalu terus melaung takbir sepenuh hati.
Gegaran bertambah kuat dan akhirnya dinding kota itu runtuh. Tentera Islam yang menyaksikan kejadiam itu memuji kekuasaan Allah yang ditunjukkan kuasa-Nya yang maha hebat. Habuk debu berterbangan hingga tidak dapat melihat antara satu sama lain. Apabila keadaan menjadi seperti sediakala, tentera Islam segera memasuki kota Hims.
Ramai tentera Rom terkorban kerana tidak sempat melarikan diri semasa berada di atas benteng kota. Manakala tentera yang masih hidup menyerah diri. Kebanyakan mereka masih terkejut dan takut dengan peristiwa yang baru berlaku. Jerit-pekik dan tangis wanita serta kanak-kanak menguasai kota yang sudah runtuh. Orang ramai mulai mencari adik-beradik dan saudara-mara yang tertimbus di bawah runtuhan rumah dan juga kota. Malam yang gelap menyukarkan pencarian mangsa-mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan kota. Kerja-kerja itu dihentikan dan disambung keesokan hari.
"Maha suci Allah! Sesungguhnya ini kejadian luar biasa. Sangat luar biasa," kata Amru yang masih tergamam.
"Sesungguhnya Allah tidak mempersiakan doa yang kita pohon. Alhamdulillah, akhirnya kota Hims berjaya kita takluk dengan kekuasaan-Nya. Sesunggugnya tiada seorang manusia yang dapat menandingi kekuasaan dan kehebatanNya. Sekiranya ada yang menidakkan, dia manusia yang dilaknat Allah. Nauzubillah," ungkap Abu Ubaidah penuh bermakna.
1 comment:
salam..waa..bgs2..bnykkan tulis pasal sirah...bleh bace..hehe..tp jgn ksg tnpa ibrh plak ye..
Post a Comment