Friday, June 6, 2008

Isu PTPTN Menguji Ketulusan Kasih Pak Lah Pada Mahasiswa

Isu pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) adalah isu kebajikan mahasiswa yamg cukup penting.
Ia kerapkali disuarakan oleh pemimpin parti-parti pembangkang dan persatuan-persatuan mahasiswa.Namun beberapa hari yang lepas, ia telah dibangkitkan oleh Dato’ M. Kayveas dalam mesyuarat agung Parti Progresif Penduduk (PPP), sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN).
Respon positif daripada Perdana Menteri Malaysia yang mahu mengkaji semula cadangan pemansuhan caj pentadbiran PTPTN telah memberikan harapan baru kepada mahasiswa.
Beberapa sifat dan syarat pinjaman yang tidak mesra peminjam telah meletakkan pinjaman PTPTN sebagai pinjaman yang menekan dan menghimpit pelajar.
Kadar faedah atau caj pentadbiran yang dikenakan sebanyak 3% setahun (dikompounkan secara bulanan) adalah tidak relevan dalam usaha kerajaan mahu melahirkan modal insan gemilang.
Mahasiswa yang meminjam akan dibelenggu hutang PTPTN selama lebih 10 tahun dengan kadar faedah (caj pentadbiran) melebihi RM3500. Itupun jika peminjam membayar pada masa yang ditetapkan.
Bagi peminjam yang gagal atau sukar untuk menepati tempoh pembayarannya, kadar faedah yang dikenakan akan terus berlipat kali ganda, persis pinjaman Along .
Seharusnya, pinjaman PTPTN yang diberikan kepada mahasiswa perlu menjadi antara bukti bahawa negara ini adalah negara berkebajikan yang komited dalam melahirkan tenaga manusia yang berkualiti.
Namun, lantaran caj pentadbiran yang tinggi serta tempoh permulaan pembayarannya yang agak singkat telah menampakkan ia sebagai salah satu cara untuk mengaut keuntungan bagi pihak tertentu dan menjadikan mahasiswa sebagai lapangan pelaburan yang menguntungkan.
Natijahnya, ramai graduan yang terhimpit dan tersepit dengan hutang piutang sehingga melalaikan dan memperlahankan mereka pada tanggungjawab untuk berbakti kepada masyarakat.
Ironinya, sebagai sebuah kerajaan yang sedang berusaha untuk merealisasikan Wawasan 2020 dengan Misi Nasional yang cukup mantap, kerajaan harus peka tentang perkara ini.
Jika kerajaan menerima 3 tuntutan utama mahasiswa berkaitan isu ini, maka sudah pasti ia akan menjadi bukti utama keprihatinan kerajaan Malaysia pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada golongan mahasiswa.
Tiga tuntutan yang penulis maksudkan adalah:
1) Memansuhkan kadar faedah (caj pentadbiran) 3% yang membebankan mahasiswa.
2) Melanjutkan tempoh permulaan pembayaran dari 6 bulan selepas tamat pengajian kepada 18 bulan selepas tamat pengajian supaya peminjam benar-benar stabil dengan kerjaya dan kedudukan kewangan untuk mula membayar pinjaman.
3) Menukar status 1/3 satu pertiga daripada jumlah pinjaman kepada biasiswa bagi mahasiwa yang tamat pengajian dengan Diploma/Ijazah Sarjana Muda kelas kedua tinggi sebagai motivasi buat mahasiswa untuk cemerlang dalam pelajaran.
Tuntutan ini amat biasa bagi sebuah kerajaan yang kaya, namun ia adalah amat bermakna bagi mahasiswa atau graduan yang masih belum punyai kedudukan kewangan yang stabil.
Ia juga adalah bukti kasih kerajaan Barisan Nasional dan Pak Lah yang paling tulus buat mahasiswa menjelang Pilihanraya Umum ke-12 yang semakin hampir.

Kesal isu PTPTN belum selesai

Majlis TertinggiBiro Hewi, PMI UM May 29, 01 8:36am
Kami pimpinan siswi yang bernaung di bawah Biro Hal Ehwal Wanita Islam ( HEWI), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya berasa cukup kesal dengan tindakan kerajaan yang masih tidak menurunkan atau menghapuskan kadar empat peratus kadar faedah dalam pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Masalah ini turut disuarakan oleh seorang ‘Ibu Terkilan’ di malaysiakini yang menyatakan perasaan tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan (‘Bila isu PTPTN selesai?’, May 26).
Kami mahasiswi berasa amat kecewa kerana kerajaan tidak mengendahkan tuntutan kami yang membawa mesej dan suara seluruh mahasiswa di Malaysia. Kerajaan dilihat tidak mampu untuk menangani isu yang melibatkan hak rakyat terutamanya pelajar universiti.
Mahasiswa baru yang kami temui melahirkan kebimbangan terhadap isu pinjaman PTPTN yang akan menyusahkan mereka kelak. Ini diakui oleh mahasiswa berbilang bangsa yang terpaksa bergantung kepada pinjaman PTPTN sepenuhnya.
Kami terpaksa bertegas menyeru pihak kerajaan bagi memenuhi tuntutan kami dan mengembalikan hak mahasiswa yang perlu diberikan kemudahan kewangan bagi meneruskan pelajaran di kampus. Kami tidak sanggup untuk menanggung beban hutang yang terlalu tinggi kepada pihak kerajaan sedangkan wang kerajaan tersebut adalah hak rakyat.
Kami tidak akan teragak- agak untuk membantah sekeras- kerasnya keputusan kerajaan yang tidak menurunkan kadar faedah sebanyak empat peratus pinjaman PTPTN.

Kaji semula kenaikan harga minyak

Asiah binti HasanLajnah Penerangan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)Assalamualaikum w.b.t.Sebagai seorang pengguna selaku mahasiswa saya merasa terpanggil untuk turut memberi respon terhadap isu hangat ketika ini iaitu kenaikan harga minyak 78 sen menjadikan harga petrol RM 2.70 seliter dan kenaikan RM1 bagi diesel menjadikannya RM2.58 seliter. Saya berpandangan pemberian RM625 dan RM150 kepada pemilik kenderaan yang berkaitan adalah bagus namun ia bukanlah satu penyelesaian jangka panjang sedangkan pengguna masih lagi menanggung beban memandangkan minyak kenderaan perlu diisi selalu.Jika sebelum ini hangat membincangkan kenaikan harga beras yang melampau disebabkan kekurangan bekalan padi dan beras, yang mana dirasakan sangat terbeban dengan perkara demikian. Belum pun hilang bebanan kenaikan harga beras, hari ini kita dikejutkan pula dengan kenaikan mendadak dan dirasakan sangat tinggi terhadap harga petrol dan diesel. Hal ini amat dirasai oleh golongan berpendapatan rendah dan para mahasiswa.Saya mewakili suara mahasiswa yang lain, apa yang dirasai sangat membebankan kami sebagai seorang pelajar yang menggunakan kenderaan berulang-alik di dalam kampus serta harga barangan lain yang turut naik seperti makanan dan keperluan. Sangat besar harapan kami sekiranya kenaikan ini hanya sementara dan kenyataan Perdana Menteri bahawa kenaikan ini akan dikaji secara bulanan akan memberikan khabar gembira kepada semua pengguna di Malaysia iaitu akan berlaku penurunan harga petrol dan diesel ini serta barangan lain.Kenaikan harga minyak dunia dikatakan faktor kenaikan harga minyak di Negara kita. Apa yang kami sebagai mahasiswa harapkan agar pihak kerajaan dapat menyediakan jalan alternatif yang dapat mengurangkan bebanan rakyat memandangkan Negara Malaysia merupakan Negara pengeluar minyak. Bagi golongan berpendapatan tinggi mungkin kurang merasai kenaikan ini namun bagi golongan berpendapatan rendah dan mahasiswa sangat-sangat merasai hal ini. Ditambah pula dengan harga barangan lain yang turut meningkat. Tidak mustahil dengan kenaikan lagi harga minyak ini menyebabkan harag barangan keperluan lain turut meningkat. Apa yang ditakuti kos sara hidup meningkat dan berlaku inflasi yang tinggi.Saya menyokong kenyataan saudara Mohamad Ghazali Zainal Abidin yang menyatakan bahawa kerajaan perlu menagguhkan seketika projek jambatan kedua Pulau Pinang dan koridor wilayah ekonomi dan mengutamakan kebajikan rakyat pada masa ini.Saya tidak merasakan pengguna membazir selama ini dalam penggunaan minyak, elektrik dan barangan lain kerana sememangnya pengguna akan membeli barangan keperluan sesuai dengan tahap penggunaan mereka.

Thursday, June 5, 2008

Menaikkan harga hanya menyelesaikan masalah jangka pendek

Keputusan kerajaan menaikkan harga minyak secara drastik menjadi tsunami yang begitu teruk kepada rakyat Malaysia memandangkan pendapatan mereka masih tidak dinaikkan lagi.
Malah, langkah kenaikan harga bahan api ini dilihat hanya satu cara penyelesaian jangka pendek, yang bukan sekadar menyebabkan kos pengangkutan bertambah tinggi, tetapi turut melibatkan harga barangan meningkat, tegas Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Elizabeth Wong.
Menurut beliau, sementara harga bahan api naik sebanyak 60 peratus, RM625 subsidi hanya cukup untuk tiga bulan sahaja serta dilihat tidak dapat menyelesaikan tekanan hidup rakyat Malaysia.
"Disebabkan pengangkutan awam yang tidak berkesan, para pekerja masih bergantung kepada kenderaan sendiri ke tempat kerja. Lebih mengecewakan, RM9.9 bilion yang dikatakan dijimatkan di antara tempoh kenaikan harga bahan api yang lepas dan kini, ia langsung tidak menaikkan taraf pengangkutan awam negara," tegas beliau dalam kenyataan medianya kepada Harakahdaily, hari ini.
Katanya, Malaysia merupakan negara pengeksport petrol yang juga akan mendapat keuntungan yang tinggi semasa harga pasaran dunia naik sampai melebihi US130, di mana rakyat Malaysia sepatutnya mendapat manfaat daripada kenaikan harga petrol sedunia.
"Sudah tibanya masa Petronas melaksanakan prinsip ketelusan dalam keuntungan yang diperolehi, agar keuntungan yang dimiliki Malaysia dinikmati semua rakyat jelata," tegas beliau.
Sehubungan itu, Elizabeth berkata kerajaan sepatutnya berbincang dengan kerajaan negeri sebelum membuat sebarang keputusan, khasnya dalam aspek perancangan dan pengurusan ekonomi. - mns