Tuesday, July 22, 2008

Pelajar cadang akta alternatif AUKU



Berita KampusGerakan Mahasiswa Mansuhkan AUKU (GMMA) mencadangkan kepada kerajaan akta alternatif - bagi menggantikan Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) - yang dapat memberi kebebasan berpersatuan, bersuara, kebebasan akademik dan terlibat dalam politik.



gmma committee pc 250608 02GMMA merupakan gabungan enam pertubuhan pelajar - Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Bahasa Cina, Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis), Teras Keupayaan Melayu (Teras) dan Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma).

Penyelaras GMMA Teh Yee Keong berkata, cadangan tersebut telah disiapkan dan akan diserahkan kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen pada Selasa depan.

Teh menambah, cadangan itu juga akan dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi sama ada esok atau lusa, bergantung tarikh temujanji dengan pegawai berkenaan.

gmma committee pc 250608 teh yee keongIa juga akan diserahkan kepada ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan Ismail minggu depan, katanya di sidang media di Kuala Lumpur pagi ini.

GMMA, tambah Teh (foto), akan mengadakan siri jelajah ke seluruh kampus universiti di Semenanjung untuk menjelaskan mengenai akta alternatif tersebut mulai bulan depan.

Akta alternatif itu 'Piagam Agung untuk Akta Mahasiswa 2008' adalah satu cadangan undang-undang yang menyentuh aspek-aspek pentadbiran dan mahasiswa di universiti dan kolej universiti.

Akta ini menjamin hak-hak mahasiswa yang selari dengan nilai-nilai demokrasi dan hak asasi manusi seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, Perisytiharan Hak Asasi Manusia (UDHR) dan Piagam Bangsa-bangsa Bersatu.

Penyelidik GMMA Faridzul Nasarudin menjelaskan, akta alternatif ini mengambil semangat dan falsafah piagam agung yang diperkenalkan oleh King John pada 1215 di England.

"Ia merujuk kepada satu prinsip atau satu set undang-undang yang pertama sekali yang mempengaruhi kerangka demokrasi dan perlembagaan yang ada pada hari ini.

gmma committee pc 250608 faridzul nasarudin"Kami mengambil sikap bahawa prinsip dan falsafah magna carta (piagam agung) ini perlu diwujudkan kembali agar kebebasan yang sebenar selari dengan prinsip-prinsip demokrasi, hak asasi manusia dan juga Perlembagaan Persekutuan dapat dijamin dengan sewajarnya," kata Faridzul (foto).

Turut hadir di sidang media itu, wakil-wakil kumpulan siswa tersebut Ridzuan Mohammad (Gamis), Simon Ooi Tze Min (setiausaha pentadbiran Dema) dan Zulzaidi Mahmod (koordinator pendidikan pengguna Teras).

Teh pula berkata, GMMA mengalu-alukan ahli-ahli parlimen BN atau Pakatan Rakyat yang ingin membahaskan akta alternatif ini di Dewan Rakyat.

Beliau juga mencadangkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi agar membatalkan hasrat untuk meminda akta ini.

"Kami juga cadangkan tindakan itu diberhentikan sebab tidak ada apa-apa usaha perlu dilakukan dengan pindaan, AUKU harus dimansuhkan.

"Seterusnya dibuatkan akta alternatif untuk menggantikannya.

"Sebabnya, yang mengganggu mahasiswa bukan sahaja artikel 15 dan 16, banyak lagi artikel yang ada di bawah AUKU ini. Sebab akta ini banyak memberi kuasa kepada naib canselor untuk memutuskan segala-gala perkara di universiti," katanya.

gmma committee pc 250608 simon ooi tze minOoi (foto) pula berkata beliau kesal dengan sikap kementerian yang tidak mahu berjumpa dengan GMMA untuk berdialog dan menerima memorandum mereka.

"Setiap kali kami ingin berjumpa dengan kementerian, untuk berdialog dengannya, nak menghantar memorandum kepada kementerian, malangnya kami tidak dapat berjumpa dengan mereka dengan alasan kami (GMMA) tidak diiktiraf," katanya.

Menurutnya lagi, kementerian selalu berjanji untuk memberikan kebebasan kepada pelaja "tetapi ia tidak terus terang pindaan-pindaan berkenaan.

Menurut Ridzuan, GMMA difahamkan bahawa pindaan AUKU akan dibentangkan dalam sidang Dewan Rakyat tahun ini.

"Tetapi hari ini, kita tidak nampak bahagian mana yang ingin digubal, yang ingin dipinda, sama ada menyentuh mengenai politik, menyentuh mengenai kegiatan dalam masyarakat, ataupun dari sudut akademik itu sendiri.

gmma committee pc 250608 ridzuan mohammad"Kementerian seharusnya memaklumkan lebih awal kepada mahasiswa dan rakyat, (bahagian) apa yang ingin dipinda," kata Ridzuan (foto).

Faridzul pula menyeru kerajaan agar mengambil berat cadangan akta alternatif GMMA yang akan dikemukakan nanti.

"Kami menegaskan bahawa kami bukan persatuan yang menentang kerajaan. Mereka (kementerian) berkata untuk mengkaji dan mencadangkan beberapa pindaan terhadap AUKU.

"Mengambil peluang tersebut, kami di peringkat mahasiswa mengambil inisiatif untuk membantu kementerian dengan menyediakan magna carta (piagam agung) kepada mereka," kata Faridzul.

GMMA amat berharap kementerian bersedia bertemu dan berdialog dengan mereka.

Ia juga menjelaskan perdana menteri belum memberikan sebarang respons, setakat ini, untuk bertemu mereka minggu depan.

Bagaimanapun, menurut gabungan itu, Wan Azizah akan berjumpa mereka 1 Julai depan di Parlimen.

http://malaysiakini.com/news/85002

No comments: