Friday, June 6, 2008

Isu PTPTN Menguji Ketulusan Kasih Pak Lah Pada Mahasiswa

Isu pinjaman Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) adalah isu kebajikan mahasiswa yamg cukup penting.
Ia kerapkali disuarakan oleh pemimpin parti-parti pembangkang dan persatuan-persatuan mahasiswa.Namun beberapa hari yang lepas, ia telah dibangkitkan oleh Dato’ M. Kayveas dalam mesyuarat agung Parti Progresif Penduduk (PPP), sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN).
Respon positif daripada Perdana Menteri Malaysia yang mahu mengkaji semula cadangan pemansuhan caj pentadbiran PTPTN telah memberikan harapan baru kepada mahasiswa.
Beberapa sifat dan syarat pinjaman yang tidak mesra peminjam telah meletakkan pinjaman PTPTN sebagai pinjaman yang menekan dan menghimpit pelajar.
Kadar faedah atau caj pentadbiran yang dikenakan sebanyak 3% setahun (dikompounkan secara bulanan) adalah tidak relevan dalam usaha kerajaan mahu melahirkan modal insan gemilang.
Mahasiswa yang meminjam akan dibelenggu hutang PTPTN selama lebih 10 tahun dengan kadar faedah (caj pentadbiran) melebihi RM3500. Itupun jika peminjam membayar pada masa yang ditetapkan.
Bagi peminjam yang gagal atau sukar untuk menepati tempoh pembayarannya, kadar faedah yang dikenakan akan terus berlipat kali ganda, persis pinjaman Along .
Seharusnya, pinjaman PTPTN yang diberikan kepada mahasiswa perlu menjadi antara bukti bahawa negara ini adalah negara berkebajikan yang komited dalam melahirkan tenaga manusia yang berkualiti.
Namun, lantaran caj pentadbiran yang tinggi serta tempoh permulaan pembayarannya yang agak singkat telah menampakkan ia sebagai salah satu cara untuk mengaut keuntungan bagi pihak tertentu dan menjadikan mahasiswa sebagai lapangan pelaburan yang menguntungkan.
Natijahnya, ramai graduan yang terhimpit dan tersepit dengan hutang piutang sehingga melalaikan dan memperlahankan mereka pada tanggungjawab untuk berbakti kepada masyarakat.
Ironinya, sebagai sebuah kerajaan yang sedang berusaha untuk merealisasikan Wawasan 2020 dengan Misi Nasional yang cukup mantap, kerajaan harus peka tentang perkara ini.
Jika kerajaan menerima 3 tuntutan utama mahasiswa berkaitan isu ini, maka sudah pasti ia akan menjadi bukti utama keprihatinan kerajaan Malaysia pimpinan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada golongan mahasiswa.
Tiga tuntutan yang penulis maksudkan adalah:
1) Memansuhkan kadar faedah (caj pentadbiran) 3% yang membebankan mahasiswa.
2) Melanjutkan tempoh permulaan pembayaran dari 6 bulan selepas tamat pengajian kepada 18 bulan selepas tamat pengajian supaya peminjam benar-benar stabil dengan kerjaya dan kedudukan kewangan untuk mula membayar pinjaman.
3) Menukar status 1/3 satu pertiga daripada jumlah pinjaman kepada biasiswa bagi mahasiwa yang tamat pengajian dengan Diploma/Ijazah Sarjana Muda kelas kedua tinggi sebagai motivasi buat mahasiswa untuk cemerlang dalam pelajaran.
Tuntutan ini amat biasa bagi sebuah kerajaan yang kaya, namun ia adalah amat bermakna bagi mahasiswa atau graduan yang masih belum punyai kedudukan kewangan yang stabil.
Ia juga adalah bukti kasih kerajaan Barisan Nasional dan Pak Lah yang paling tulus buat mahasiswa menjelang Pilihanraya Umum ke-12 yang semakin hampir.

No comments: