Friday, June 6, 2008

Kesal isu PTPTN belum selesai

Majlis TertinggiBiro Hewi, PMI UM May 29, 01 8:36am
Kami pimpinan siswi yang bernaung di bawah Biro Hal Ehwal Wanita Islam ( HEWI), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya berasa cukup kesal dengan tindakan kerajaan yang masih tidak menurunkan atau menghapuskan kadar empat peratus kadar faedah dalam pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Masalah ini turut disuarakan oleh seorang ‘Ibu Terkilan’ di malaysiakini yang menyatakan perasaan tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan (‘Bila isu PTPTN selesai?’, May 26).
Kami mahasiswi berasa amat kecewa kerana kerajaan tidak mengendahkan tuntutan kami yang membawa mesej dan suara seluruh mahasiswa di Malaysia. Kerajaan dilihat tidak mampu untuk menangani isu yang melibatkan hak rakyat terutamanya pelajar universiti.
Mahasiswa baru yang kami temui melahirkan kebimbangan terhadap isu pinjaman PTPTN yang akan menyusahkan mereka kelak. Ini diakui oleh mahasiswa berbilang bangsa yang terpaksa bergantung kepada pinjaman PTPTN sepenuhnya.
Kami terpaksa bertegas menyeru pihak kerajaan bagi memenuhi tuntutan kami dan mengembalikan hak mahasiswa yang perlu diberikan kemudahan kewangan bagi meneruskan pelajaran di kampus. Kami tidak sanggup untuk menanggung beban hutang yang terlalu tinggi kepada pihak kerajaan sedangkan wang kerajaan tersebut adalah hak rakyat.
Kami tidak akan teragak- agak untuk membantah sekeras- kerasnya keputusan kerajaan yang tidak menurunkan kadar faedah sebanyak empat peratus pinjaman PTPTN.

No comments: