Bidadari adalah wanita syurga yang disediakan sebagai ganjaran bagi hamba-hambaNya yang taat. Tiada kata seindah bahasa yang dapat menggambarkan kecantikan bidadari. Kejelitaannya tidak dapat dikiaskan dengan benda-benda di dunia ini. Keharumannya tidak ada menyamai sesuatu pun wangian yang ada di alam ini. Segala kenikmatan terkumpul di dalamnya yang tidak pernah terlintas di mata dan hati.
Bidadari salah satu perbendaharaan kenikmatan syurga yang ghaib dan misteri, namun ia wujud yang sentiasa menanti dan merindui para kekasihnya. Bidadari sebagai isteri yang suci, disudut matanya penuh keindahan, sebaya umurnya, sangat putih, cantik berseri wajahnya, gadis-gadis remaja dan sekiranya bidadari ini meludah di samudera nescaya airnya menjadi tawar, kerana tawarnya ludah bidadari. Begitulah keistimewaan bidadari yang Allah s.w.t janjikan bagi insan yang beriman.
Menikmati taman kenikmatan syurgawi merupakan impian setiap insan, kerana sesungguhnya tiada kenikmatan yang paling bermakna melainkan kenikmatan menghirup kebahagiaan di akhirat nanti. Semoga kita termasuk insan yang diredhaiNya, insya'Allah.
No comments:
Post a Comment