Thursday, August 14, 2008

Demonstrasi pelajar UiTM agenda tersembunyi Umno

Saidah Hairan
Thu | Aug 14, 08 | 8:22:33 pm MYT

SHAH ALAM, 14 Ogos (Hrkh) - Kenyataan Naib Canselor UiTM, Dato' Seri Profesor Dr Ibrahim Abu Shah berhubung cadangan pembukaan 10 peratus kuota kepada pelajar bukan Melayu tidak menggambarkan seorang tokoh akademik sebaliknya lebih memenuhi tuntutan pihak tertentu yang mempunyai agenda tersembunyi.

Iklan

Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor, Ustaz Sallehen Mokyi berkata, kenyataan Dr Ibrahim itu menggambarkan seolah-olah beliau tidak mempunyai harga diri dan maruah sebagai seorang Naib Canselor.

Sepatutnya dalam masalah tersebut beliau mengemukakan hakikat bahawa UiTM mempunyai pelajar asing dengan jumlah bukan sedikit, katanya.

"Beliau sewajarnya berikan fakta yang jelas dan mengemukakan kelemahan UiTM selama ini," tegasnya.

Menurut beliau masalah UiTM bukan kerana soal persaingan menyebabkan kualiti pada tahap yang rendah tetapi pemikiran ahli akademik yang terlalu menurut kemahuan pihak politik tertentu.

Katanya, universiti perlu bebas daripada kongkongan pihak politik bagi membolehkan mahasiswa membina kualiti sendiri.�

Berhubung 5,000 pelajar yang menyertai demonstrasi itu beliau yakin pihak UiTM memberi kebenaran kepada pelajarnya walaupun dinafikan oleh Dr Ibrahim.

"Saya setuju jika pelajar ini diberikan kebebasan untuk menentukan pemikiran mereka dan meluahkan perasaan. Ini satu amalan yang sihat, malangnya selama ini mereka tidak boleh berbuat begitu kerana dikongkong oleh parti pemerintah," tegasnya.

Dalam pada itu, Pemuda PAS Selangor tetap tidak bersetuju jika UiTM dibuka 10 peratus kepada pelajar bukan Melayu dan bumiputera.

Beliau mencadangkan kerajaan negeri berusaha untuk mengambil hati orang Melayu atau memperkukuhkan kedudukan bangsa Melayu bukan memberi cadangan yang boleh mencetuskan isu perkauman.

Bagi Pemuda PAS membuka ruang kepada pelajar bukan Melayu untuk memberi persaingan sihat kepada pelajar Melayu UiTM tidak wajar kerana sebenarnya banyak lagi universiti yang boleh membangunkan kesedaran dan meningkatkan kualiti, tegasnya.

Bagaimanapun, Dewan Pemuda PAS Selangor mengucapkan syabas kepada kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat kerana bersifat proaktif membuka pintu dan menerima bantahan daripada pelajar-pelajar UiTM, katanya. - lanh _

No comments: