Wednesday, February 10, 2010

Kesenangan itu...

Assalamu'alaikum.. Buat teman-teman, moga sentiasa berada di dalam redha Ar-Rahim. Terlebih dahulu saya ingin mohon maaf kepada teman-teman kerana sudah agak lama tidak bersua di alam maya ini melalui penulisan untuk perkongsian idea kerdil yang dimiliki. Boleh saja saya beralasan sibuk, tetapi setiap daripada kita mempunyai waktu yang sama iaitu 24 jam. Jadi tak perlulah beralasan, cuba belajar untuk tidak beralasan.

Tahniah juga saya ucapkan kepada teman-teman yang tidak jemu-jemu di dalam perkongsian idea yang telah disampaikan melalui blog masing-masing. Mohon dari Allah supaya kita tidak termasuk dalam golongan yang riak dan munafik dalam berkata-kata, Na'uzubillah.

Dengan ruang waktu yang terbatas ini ingin saya berbicara soal kehidupan kita hari ini. Saya yakin ada dikalangan teman-teman yang pernah mengalaminya apa yang ingin saya sebut pada kali ini, soal ujian hidup.

Kita tidak boleh lari dari ujian atau rintangan dalam kehidupan, setiap dari kita akan melaluinya cuma mungkin ada yang belum lagi diuji. Ujian ini biasa juga teman-teman menyebutnya mehnah dan tribulasi atau ranjau kehidupan. Perkara pertama yang saya mahu nyatakan.. Ujian, rintangan, mahnah dan tribulasi itu semua datang daripada Allah. Ujian itu merupakan tarbiah dari Allah dan mereka aktivis dakwah juga pejuang Islam pasti akan diuji. Allah telah sebut dalam Al-Quran..

Aliff lam mim. Adakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja untuk mengaku bahawa "kami telah beriman" dan sedangkan mereka tidak diuji lagi? Sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka Allah mengetahui orang-orang ynag benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
(Al-Angkabut : 1-3)

Jadi ayat di atas sudah cukup untuk kita menerima hakikat bahawa Allah akan menguji kita dan kenapa kita diuji. Soalnya disini bagaimana bentuk dan rupa ujian itu?

Untuk kita lebih jelas, bukalah kitab-kitab sirah, hadis dan tafsir Al-quran. Banyak diceritakan tentang ujian-ujian yang Allah datangkan kepada hambanya. Lihatlah bagaimana Nabi dan para sahabat diuji dalam usaha menyebarkan ajaran Allah. Hinggakan ada yang dibuang daerah, dipenjara dan dibunuh. Ingat, orang yang paling dasyat diuji ialah para Nabi kita.


"Orang yang paling berat dicuba ialah para Nabi kemudian yang paling baik selepasnya, kemudian orang yang paling baik selepas itu."

Dengan ujian-ujian yang berat dan dasyat seperti itu, para aktivis dakwah akan mepersiapkan diri untuk menghadapinya. Alhamdulillah, ada yang mampu menghadapinya dan sebenarnya mereka yang mampu hanya sedikit.

Tetapi yang lebih menakutkan saya dan mungkin teman-teman ialah bila Allah uji kita dengan kesengan, kemewahan, pangkat dan harta. Masya'allah.. takut sangat, takut tak mampu hadapinya dan akan hanyut dengan semua itu.

Kadang-kadang kita keliru kesenangan yang datang, adakah itu balasan dari Allah atas pengorbanan yang telah kita lakukan untuk Islam atau ianya suatu ujian. Ramai yang gugur dan kalah dengan ujian ini. Mungkin ianya peluang dan kemudahan untuk gerak kerja Islam tetapi bila sudah lama kelamaan lain pula yang berlaku, kesenangan yang dipikul Islam disepak-sepak

Peganglah jawatan yang penting supaya dengan kuasa yang ada dapatlah kita melaksanakan syariat Islam dan menyekat segala kebatilan. Carilah kekayaan supaya dengan kekayaan itu memudahkan akan gerak kerja dakwah dan Islam lebih kuat. Tetapi kenapa bila dah pegang jawatan yang tinggi dan bila sudah bergelar jutawan kamu lupakan janji kamu untuk Islam.! Yang sedihnya ada yang mengejar semua itu sehingga mengabaikan kewajipan sebagai orang Islam apatah lagi tanggungjawab sebagai aktivis dakwah. Astaghfirullah..

Bila ditanya, kenapa sudah lama tidak terlibat dengan gerak kerja? Jawabnya, "maaf syekh.. ana sibuk, banyak pulak kerja kena buat".

Saya tidak nafikan, tidak semua seperti itu kerana ada yang pegang jawatan dan bergelar jutawan tetapi masih tetap dalam perjuangan. Tetapi hakikatnya sangat sedikit yang macam ni.

Nak dengar satu cerita tak? Mungkin ada yang dah pernah dengar cerita ini.
Ada seekor monyet telah memanjat satu pokok kelapa yang sangat tinggi. Bila sampai di puncak pokok kelapa itu tiba-tiba datang tiga jenis angin iaitu angin ribut, angin taufan, angin puting beliung. Ketiga-tiga angin tersebut merempuh pokok kelapa itu dan si monyet tidak jatuh apatah lagi diterbangkan kerana ia memeluk dengan sekuat-kuatnya pada pokok kelapa itu. Angin itu berlalu pergi dan si monyet masih selamat berada di puncak pokok kelapa itu.

Tidak lama kemudian, datang satu angin yang sepoi-sepoi bahasa. Fuuh, sangat lembut tiupan angin itu sehingga mengasyikkan. Oleh kerana terlalu asyik, si monyet tidak perasan yang dia sudah melepaskan tangannya dari pokok kelapa. Apa lagi, jatuhlah si monyet itu ke tanah dan ... K, cukup stakat itu ceritanya. Jadi, apa yang teman-teman dapat daripada cerita tadi.?
Yup, kesimpulannya jangan teman-teman jadi monyet.

Bila kita diuji dengan kesusahan dan kepahitan, semakin erat pegangan kita pada Islam, semakin teguh pendirian kita dalam menyatakan kebenaran, bertambah berani kita dalam mempertahankan Islam, semakin tajam dan kreatif pemikiran kita, semakin erat ukhuwah kita dan semakin dekat diri kita dengan Allah.

Dan bila kita diuji dengan kesenangan, kemewahan, pangkat, kekayaan. Semakin kaku kita dalam menyuarakan kebenaran, semakin hilang keberanian kita dalam mempertikaikan kebatilan, semakin tumpul pemikiran kita dalam memikirkan permaslahan ummah, semakin jauh kita dengan sahabat seperjuangan dan semakin longgar hubungan kita dengan Allah.

Tolong, jangan jadi seperti itu. Teman-teman dan saya pun, minta pada Allah supaya kita diberi kakuatan dalam menghadapi ujian ini. Dan ingat Allah, Allah sayang pada kita.


"Sesungguhnya Allah s.w.t., apabila mengasihi satu kaum, dicubanya mereka itu (dengan berbagai cubaan), barang siapa yang rela dengan cubaan itu maka mereka mendapat kerelaanNya, barang siapa yang benci (marah) maka baginya kemurkaan Allah s.w.t."

Cukuplah untuk kali ini, perkongsian ini untuk memberi peringatan kepada saya dan teman-teman kerana sebahagian besar apa yang saya nyatakan itu benar-benar berlaku. Terima kasih kerana sanggup membacanya. Ma'assalam..

1 comment:

Ummi Mujahidah said...

hasil tarbiyah yg mantap..