Sunday, May 30, 2010

Mati dirempuh jentolak Israel

Rachel Corrie yang memperjuangkan kemanusian dan membela rakyat palestin sehingga danggup menggadaikan nyawanya sendiri. Dia seorang warga US yang bersungguh-sungguh dalam usahanya untuk membela. Bagaimana dengan kita selaku ummat Islam...?



Saturday, May 29, 2010

Demo besar-besaran diseluruh dunia sekiranya Israel mengasari Konvoi

Alhamdulillah, Kami Akhirnya Berlayar Ke Gaza

Alhamdulillah, Kami Akhirnya Berlayar Ke Gaza

Selepas tertangguh selama 2 hari, kapal Mavi Marmara akhirnya meninggalkan Pelabuhan Yeni Antalya tepat jam 00:30 pagi (5:30 pagi waktu Kuala Lumpur) menuju ke Laut Mediterranean. Suasana di atas kapal penuh ceria, di mana peserta bersorak dan bertasbih sambil melaungkan takbir. Sesungguhnya masa menunggu selama 2 hari adalah terlalu lama bagi kami yang sekian lama bersiap sedia untuk melihat bumi Gaza.

Perjalanan daripada Kepez Arena bermula dari jam 5 petang lagi. Puluhan buah bas membawa peserta-peserta konvoi yang diiringi oleh kereta-kereta dan kibaran bendera. Kanak-kanak, remaja dan warga emas, semua melambai-lambai tangan kepada rombongan bas ini, ada yang menjerit-jerit dengan kata-kata sokongan, ada yang menitiskan airmata. Bandar Antalya bagaikan menyambut satu pesta perayaan, sehinggakan bunga-bungaan ditabur sepanjang perjalanan daripada Kepez Arena hingga ke Pelabuhan Yeni.

Sambutan di Pelabuhan Yeni begitu meriah sekali. Pelbagai lapisan rakyat menyambut ketibaan bas membawa peserta konvoi dalam suasana penuh sesak. Jalan masuk ke pelabuhan dipenuhi dengan kibaran bendera dan tembakan bunga kertas bewarna-warni ke udara. Berbagai-bagai lagu berbahasa Turki dinyanyikan, setiap mereka yang hadir tidak mahu ketinggalan melaungkan takbir dan bersalaman dengan peserta konvoi.

Kira-kira 560 orang peserta konvoi menaiki kapal Mavi Marmara ini. Kapal penumpang ini diiringi oleh dua buah kapal kargo, di mana mereka akhirnya akan bergabung di perairan Cyprus dengan 6 buah kapal lain yang belayar dari Eropah. Kapal-kapal ini dijangka tiba di perairan Gaza pada hari Sabtu.

Dalam pada itu, Zionis Israel terus mengeluarkan ancaman kepada konvoi ini. Israel dikatakan akan menghalang kemasukan konvoi ini walaupun dengan menggunakan kekerasan dan tindakan ganas. Dalam masa yang sama, penganjur utama konvoi iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) dan peserta-peserta konvoi terus menzahirkan kecekalan mereka untuk memastikan bantuan kemanusiaan ini sampai ke Gaza. Dalam satu sidang media yang diadakan di Kepez Arena sebelum mereka bertolak ke Pelabuhan Yeni, semua perserta bersatu dalam ikrar mereka untuk melancarkan kempen dan demonstrasi besar-besaran di seluruh dunia sekiranya Israel bertindak ganas terhadap konvoi ini.

Presiden IHH, Bulent Yildirim berkata bahawa mereka tidak akan membiarkan konvoi ini diganggu oleh Israel. “Hari ini kita akan berlepas, semoga Allah memerlihara perjalanan kita. Kita jumpa lagi di Gaza”, kata Bulent disambut dengan sorakan dan takbir.

Dalam ucapan mereka di sidang media tersebut, wakil-wakil konvoi daripada Vatican, Malaysia, Indonesia, Algeria, Kuwait, Pakistan, Palestin, Yaman, Belgium dan berbagai negara lain lagi turut melafazkan janji keazaman dan kecekalan mereka untuk sampai ke Gaza. (Mohd Nizam/LL4G)

No related posts.

Friday, May 28, 2010

Ya Allah selamatkanlah pejuangMu..

Harakahdaily.net

Kapal kemanusiaan Gaza dikepung helikopter Israel
Ismail Hashim

SHAH ALAM, 28 Mei: Keselamatan konvoi sembilan kapal kemanusiaan Gaza kini terancam ekoran sedang dikepung helikopter komando Israel dan cuba untuk merampas kapal tersebut.

Menurut Setiausaha Masjid Jamek Raja Tun Uda, Ustaz Nasaruddin Hasim yang menerima mesej dari sana berkata, ketika ini konvoi sedang berada di perairan Gaza dan jam 4.30 petang (waktu Malaysia) akan berhadapan dengan kapal Israel.

Beliau mengumumkan perkara itu sebaik selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Raja Tun Uda Shah Alam, lebih 500 anak jemaah mendirikan solat hajat memohon bantuan daripada Allah SWT.

Perkara ini disahkan oleh Naib Presiden Muslim Care, Zulkifli Mohd Nani yang baharu sebentar menghubungi Harakahdaily; kini konvoi sedang berada dalam ancaman kerana segala kemungkinan boleh berlaku.

Untuk rekod, seramai 11 rakyat Malaysia turut berada di dalam kapal induk menyertai konvoi itu yang berlepas sejak semalam dari pelabuhan di Turki.

Mereka diketuai oleh Noorazman Mohd Samsuddin dari Haluan Palestin yang menjadi kordinasi utama wakil Malaysia, Dr Mohd Arba’ai Shawal, Dr S Muhamad Haleem S Hassan, Dr Selamat Aliman, Jamuliddin Elias (Naib Presiden Yayasan Amal Malaysia), Al Hami Husain Suhaimi, Mohd Nizam Mohamad (Wakil Media) dan Abdul Halim Mohamed Redzuan (Muslim Care) dan tiga yang lain.

Dalam pada itu, Haluan Palestin di dalam blognya di bawah tajuk Israel Mengesahkan Akan Menghalang Armada Bantuan Kemanusiaan Memasuki Gaza:

Kabinet politik Kerajaan Haram Israel memutuskan untuk mengarahkan tentera dan angkatan laut tidak membenarkan armada bantuan kemanusiaan terbesar atau “Freedom Flotilla” memasuki pantai Gaza dan mereka akan memastikan tidak ada sesiapa yang akan memasuki Gaza.

Sebaliknya Israel mengarahkan kumpulan hak asasi manusia dan aktivis yang mahu menghantar bekalan ke Gaza, mereka harus menghantar kargo mereka ke Israel untuk diperiksa dan “diluluskan.”

Setelah mengosongkan kargo di Israel, kapal harus belayar kembali ke tempat mereka berasal, begitulah arahan dari pemerintah zalim Israel.

Tentera Israel dan tentera laut berkata bahawa mereka tidak akan membenarkan kumpulan bantuan kemanusiaan tersebut memasuki Gaza. Malahan jika perlu, kapal-kapal akan diambil alih oleh tentera Israel sekiranya kumpulan bantuan tersebut masih mahu memutuskan untuk meneruskan perjalanan mereka.

Kerajaan Israel menggambarkan perjalanan kapal-kapal menuju Gaza sebagai provokasi “yang tidak perlu.”

Israel mengatakan bahawa armada bantuan kemanusiaan tersebut adalah provokasi sementara pegawai tentera Israel yang bertanggung jawab atas Jaluran Gaza, Kolonel Moshe Levy, menyatakan bahawa tidak ada krisis di Gaza dan situasi di sana adalah “baik dan stabil.”

Israel mengatakan bahawa armada bantuan kemanusiaan tersebut akan dibawa ke pelabuhan di Esdod “Asdod” dan semua penumpang akan ditangkap.

Gerombolan kapal tersebut yang terdiri daripada sembilan kapal sarat dengan 10,000 ton bantuan kemanusiaan dan bahan bangunan di jangka akan tiba di perairan Gaza pada Hari Sabtu minggu ini.

Sementara itu, pihak Israel juga berusaha untuk menghalang hubungan internet dan satelit antara peserta konvoi dengan negara luar; sehingga kini halaman rasmi konvoi Malaysia, http://www.lifeline4gaza.org/ tidak dapat dikemaskini.

Wednesday, May 26, 2010

Doakan kejayaan konvoi kemanusiaan antarabangsa Gaza

Harakah

KUALA LUMPUR, 27 Mei: “Sama-sama kita doakan kejayaan konvoi ini membantu saudara-saudara kita di Palestin.”

Demikian antara catatan di laman web Lifeline4Gaza semalam mengenai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza.

“Insya Allah kami tetap bertekad untuk memastikan barangan ini sampai ke Gaza, walaupun Israel tetap bertegas untuk menghalang. Apakah kami yang membawa bekalan pensil dan pemainan kanak-kanak ini layak digelar pengganas? Ataukah mereka yang menghalang bantuan ini sebenarnya pengganas dan lanun?

“Justeru, sama-sama kita doakan kejayaan konvoi ini membantu saudara-saudara kita di Palestin.”

Lifeline4Gaza melaporkan, dua buah kapal kargo Turki yang menyertai sembilan buah kapal konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza akan membawa antara lain, kelengkapan hospital, ubat-ubatan, peralatan sekolah dan juga bahan-bahan binaan.

Laman web melaporkan media-media di Israel terus membuat pelbagai tuduhan bagi menggagalkan misi konvoi ini.

Namun senarai rasmi barangan yang telah dikeluarkan oleh penganjur utama konvoi petang Selasa, 25 Mei, iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) jelas menunjukkan bahawa kapal-kapal yang menyertai konvoi ini sebenarnya akan membawa keperluan-keperluan asas dan mendesak bagi membantu rakyat Gaza yang saban hari berhadapan dengan maut akibat kekejaman berterusan Zionis Israel.

Keadaan kemanusiaan di Gaza adalah sangat menyedihkan akibat sekatan yang dikenakan oleh Israel sejak lebih lima tahun lalu. Kehidupan di Gaza menjadi semakin mengerikan akibat serangan Operation Cast Lead Israel, di mana hampir semua prasarana dan keperluan asas dimusnahkan. Mereka yang tercedera atau sakit secara umumnya hanya mampu menunggu saat kematian kerana tidak ada kemudahan rawatan dan dihalang daripada mendapat rawatan di pusat-pusat rawatan di luar Gaza.

Di samping sekatan terhadap pergerakan rakyat Gaza ke luar daerah, sebarang bantuan daripada negara luar juga dihalang. Justeru, rakyat Gaza terus cekal dan bersabar hidup di bawah runtuhan-runtuhan tanpa sebarang perhatian daripada dunia luar mahupun negara jiran. Konvoi bantuan kemanusiaan ini diharapkan akan dapat membina semula kehidupan di Gaza.

Ketika menyampaikan taklimat kepada media-media antarabangsa yang akan turut menyertai konvoi tersebut di Stadium Kepez Arena, Antalya, pegawai kanan IHH, Nalan Dal bersama ketua bagi kelengkapan teknikal media IHH, Umit Sonmiz telah menyenaraikan barangan yang akan dibawa oleh kedua-dua buah kapal tersebut, yang masing-masing diberi nama Kapal “Defne Y” dan Kapal “Gaza”.

Kapal “Gaza” akan membawa 2,104 tan simen, 600 tan besi binaan dan 50 tan jubin seramik. Manakala Kapal “Defne Y” akan membawa lebih banyak muatan. Antaranya, kapal ini akan membawa 150 tan besi untuk binaan rakit dan kemudahan dermaga, rumah-rumah mudah-bina (precast homes), 18 penjana kuasa elektrik berkuasa lebih 35KW dan 80 penjana kuasa elektrik di bawah 5KW. Turut disenaraikan adalah kelengkapan untuk taman permainan kanak-kanak seperti gelungsur dan jongkang-jongkit.

Dalam kategori peralatan hospital dan ubat-ubatan, turut disenaraikan alat seperti Ultrasound dan X-ray, katil pesakit, kerusi roda, dan kemudahan rawatan pergigian. Pelbagai jenis ubat-ubatan turut disenaraikan.

Kelengkapan sekolah seperti pensil, pemadam, plastisin, buku tulis juga akan dibawa, di samping keperluan pakaian seperti tuala dan kasut dan juga peralatan memasak dan beberapa jenis makanan.

Tuesday, May 4, 2010

Bekas hakim India kagumi Nik Aziz


Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 4 Mei: Kelainan Kelantan yang ditadbir seorang ulama, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berlandaskan dasar Membangun Bersama Islam turut menarik minat cendikiawan dari dunia luar termasuk bekas hakim dari India.

Hari ini, bekas Hakim Mahkamah Tinggi Chennai, Abdul Hadi Miran, 75 mengunjungi hormat Menteri Besar di pejabatnya, di sini.

Turut hadir anak beliau yang juga merupakan seorang peguam di Mahkamah Tinggi Chenai.

Menurut Abdul Hadi, impiannya untuk bersua muka dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sudah lama dipendamkan dulu kerana ketika itu beliau masih bertugas.

Beliau berkata, peribadi Menteri Besar Kelantan sering menjadi bahan bualan masyarakat Islam di Chennai dan perkembangan di negeri ini turut diketahui masyarakat di sana.

“Saya merakamkan terima kasih di atas kesudian Tuan Guru menerima kunjungan kami. Kenangan ini akan dibawa pulang dan diceritakan kepada masyarakat di Chennai,” kata beliau.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz fasih bercakap dalam bahasa Urdu bersama Abdul Hadi.

Abdul Hadi juga melahirkan rasa kagum di atas kehidupan masyarakat di negeri ini yang berada dalam keadaan aman walaupun pelbagai bangsa dan agama.

Katanya, ia adalah satu cara yang diajar Islam iaitu berbuat baik terhadap sesama manusia.

Sunday, May 2, 2010

Jangan berat untuk menulis sahabat...

Budaya menulis tidak begitu ditekankan sangat di negara kita berbanding negara Indonesia yang begitu terkehadapan dalam bidang penulisan ini.

Telah banyak kitab-kitab muktabar yang telah diterjemahkan oleh penterjemah-perterjemah Indonesia yang tidak pernah jemu dalam menterjemahkan kitab-kitab tersebut. Dan semakin hari semakin bertambah bilangan penulis-penulis yang mampu mengenengahkan penulisan masing-masing.

Kita perlu sedari bahawa penulisan merupakan satu method atau uslub dakwah yang mampu memberi kesan kepada mad'u kita. Terlalu banyak ruang penulisan yang boleh kita salurkan seperti menulis di akhbar dan majalah, juga penulisan di blog, web, facebook dan banyak lagi ruang yang mampu digunakan.

Tetapi sayangnya tidak ramai yang menggunakan peluang dan ruang yang ada ini untuk tujuan dakwah, malah hanya sekadar menghilangkan bosan dan mengisi masa terluang, tidak kurang juga cuma untuk seronok-seronok. Sekarang kita perlu ubah mindset kita, menulislah untuk dakwah. Penulisan kita akan kekal, selagi mana orang lain dapat manfaat daripada apa yang kita tulis itu, selagi itulah pahala kita akan berterusan walaupun kita telah meninggal dunia..

Mula lah untuk menulis, Kota Rom tidak akan siap dalam masa satu hari. Bermula dengan sedikit dahulu. Dengan kesabaran kita moga terus dan terus dalam penulisan dakwah ini.