Saturday, September 27, 2008

Salam Ramadhan.. Salam AidilFitri..

Salam 'Alaikum kepada yang sudi melawat blog ini. Pertama dan selamanya syukur kehadrat Ilahi kerana masih diberi kesempatan untuk ana mencoretkan kata-kata di sini. Mohon maaf kerana dah lama tidak update blog ini kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Sudah hampir sebulan kita bersama Ramadhan, tanpa kita sedari Ramadhan akan meninggalkan kita tidak lama lagi. Dari malam pertama Ramadhan hingga ke hari ini, setiap daripada kita tentu dapat merasai kenikmatan dan kebahagian di bulan ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini. Semua lapisan masyarakat terlibat dengan kemeriahan bulan yang mulia ini, dari yang muda hingga yang tua. Masjid dan surau kalau sebelum Ramadhan agak sunyi sepi bertukar meriah dengan para jemaah tarawihnya ditambah pula dengan suara-suara anak-anak kecil yang turut sama mengambil bahagian walaupun ada yang datang ke masjid untuk menikmati jamuan selepas Tarawih tetapi sekurang-kurangnya mereka dapat solat bersama. Bila tiba waktu petang pula peniaga-peniaga sudah siap dengan juadah berbukanya untuk dijual kapada pelanggannya yang selalu tidak mengecewakan mereka kerana pasti apa yang dijual akan mendapat sambutan yang diluar biasa, inilah yang dikatakan bulan yang mana rezeki melimpah ruah.

Bagi mereka yang tidak pernah bangun di akhir malam sebelum ini dah mula boleh bangun untuk bersahur. Walau pun ada yang bangun untuk bersahur tetapi tidak kurang juga bagi yang mengambil peluang ini untuk mengerjakan solat sunat dan membaca Al-Quran. Ini membuktikan setiap orang sebenarnya tiada masalah untuk bangun di akhir malam untuk beribadat kepada Allah. Dan perkara yang paling nikmat dan membahagiakan ialah ketika mana azan maghrib berkumandang, walau pun ada yang tidak sabar-sabar menantikannya tetapi disini kita dapat lihat semua orang dapat bersama-sama membaca doa untuk berbuka walaupun sebelum ini dengan sekadar mambaca Bismillah sahaja atau tidak baca langsung. Tentu sekali lebih nikmat kepada mereka yang mengambil bahagian berbuka di masjid yang menyediakan jamuan berbuka puasa, di samping dapat menikmati juadah yang lazat mereka juga dapat berjimat cermat secara langsung.

Bagi mereka yang menantikan bulan yang penuh dengan keberkatan ini sangat gembira dengan kedatangannya. Meraka mengejar dan merebut peluang yang diberikan ini dengan meningkatkan amal ibadat kepada Allah kerana ganjarannya brelipat kali ganda. Mereka memperuntukkan masa untuk bertadarrus Al-Quran dan tidak jemu ber Qiammulai dan memohon keampunan dari Allah.

Tiap yang datang pasti akan pergi.. Begitulah juga dengan bulan Ramadhan yang di dalamnya penuh dengan kelebihan dan nikmat yang diberikan oleh Allah. Alangkah bagusnya jikalau bulan Ramadhan ini lebih dari sebulan. Walau pun bulan Ramadhan berlalu pergi, kita perlu memperaktikkan latihan yang telah kita jalani di bulan Ramadhan ini kerana bulan Ramadhan juga dikatakan bulan tarbiah. Jangan hanya tekun mengerjakan ibadat dan menjauhi perkara-perkara mungkar pada bulan Ramadhan sahaja, seeloknya kita Istiqamah dengan setiap amal kebaikan yang kita lakukan. Insya'Allah kita akan bertemu kembali dengan Ramadhan hadapan sekiranya masih diberi umur yang panjang oleh Allah.

Dan juga Salam Aidil Fitri ana ucapkan kepada semua. Sambutlah ia dengan penuh kesyukuran...

No comments: