Sunday, July 26, 2009

Jom Bersama Menjayakan KAD'09


Saksikan Pertemuan 4 Gergasi Nasyid

RABBANI RAIHAN HIJJAZ

SHOUTUL HAROKAH (Indonesia) NIBRAS (Mekah)


Dalam 'KONSERT ANTARA DUNIA' ATAU (KAD'09)


Anjuran Gabungan Mahasiswa Islam (GAMIS) & Rabbani Production

Pada 1 OGOS 2009

7mlm-11mlm

Stadium Melawati Shah Alam

Dirasmikan Oleh : Ulama' Yang Disegani Dalam Atau Luar Negara..

Harga Tikit : Dewasa & Mahasiswa = RM 10
Kanak-kanak = RM 5
VIP = RM 50
2 VIP 4 Kanak-kanak = RM 100


Untuk Tempahan Sila Hubungi : Qahhar 019-6288614 , Anie 013-3796023

Karnival Jualan bermula 31 JULAI - 1 OGOS

Bawa bersama: Kawan-kawan, mak-abah, adik-kakak, atok-nenek, sedara-mara, jiran-jiran, murid-guru.

Monday, July 20, 2009

Peluang Dakwah Lebih Besar Melalui Konsert

Dakwah menjadi satu kewajiban ke atas setiap orang yang telah mengucap dua Kalimah Syahadah, Kerana Allah S.W.T telah berfirman dalam surah Ali-Imran pada ayat 110;


yang bermaksud :

"Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang maruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik."

Dakwah bukan suatu perkara yang kecil dan sempit, ramai yang menyangka dakwah tertumpu kepada majlis ilmu, kuliah, ceramah seperti yang diadakan di surau atau di masjid sahaja, malah bagi mereka hanya yang berjubah dan berkopiah sahaja yang perlu menjalankan amanah yang berat ini. Tetapi anggapan mereka salah kerana ayat di atas jelas menerangkan bahawa semua orang Islam perlu memikul amanah ini sama ada dalam keadaan susah atau senang. Juga dalam masa yang sama terus-menerus beriman kepada Allah.

Perlu kita ingat bahawa orang yang beriman atau mukmin berbeza dengan orang yang Islam atau muslim. Saya sudah menerangkan perkara ini pada penulisan yang sudah dan tentu sudah ramai yang memahaminya. Walau apa pun, sekali lagi saya ingin menyatakan bahawa memang ada perbezaan antara mukmin dan muslim. Secara mudahnya orang yang hanya melakukan apa yang ternyata dalam rukun Islam dan tidak menerima apa yang terkandung dalam rukun Iman, maka dia hanya Muslim tetapi belum lagi Mukmin.

Cara atau method dakwah perlu pelbagai supaya Islam dapat tersebar kesegenap ruang yang ada dan meresap masuk kedalam hati setiap orang. Kadang-kadang kita terlalu memilih jenis dan watak seseorang itu untuk di dakwah dan yang lebih bermasalah lagi apabila kita menganggap orang yang telah berlumuran dengan maksiat ini sudah terlambat untuk di dakwah dan perlu dijauhi. Memang tidak dinafikan bahawa setiap daripada kita tidak mampu untuk mendekati semua jenis orang tetapi masih ada kaedah lain yang dapat membantu untuk dakwah itu tersebar.

Contohnya, sekiranya orang itu tidak suka ke masjid sudah tentu dakwah tidak akan sampai kepadanya sekiranya hanya mengadakan majlis ilmu di masjid walau pun setiap hari. Jadi, mereka ini perlu di dekati dengan cara berkunjung kerumahnya atau terus ke tempat yang biasa dikunjunginya. Dan banyak lagi cara yang boleh kita lakukan, tentu kalian sudah nampak langkah-langkahnya.

Jadi, apa yang saya ingin tekankan di sini ialah kita tidak boleh memandang ringan usaha-usaha dakwah yang dilakukan oleh mereka walau pun tidaklah seperti mana para alim ulama' berdakwah. Walau pun dia seorang petani atau nelayan, kerana hanya mereka yang memahami kehidupan sebagai petani dan nelayan. Begitu juga Yusuf Islam, berapa ramai yang memeluk Islam kerana dengan hanya mendengar lagunya.

Konsert berunsurkan dakwah juga merupakan penyumbang besar kepada dakwah dalam mengajak orang ramai mendekati Islam. Lagu Munajat dan Malam MilikKu yang telah di Nyanyikan oleh Rabbani telah menitiskan air mata non-muslim yang mendengarnya. Walau pun konsert hanya 3 hingga 4 jam berlangsung, tetapi kesannya lebih besar daripada ceramah selama seminggu jika caranya dan penyampaiannya betul-betul mengikut Islam.

Jadi bersama kita menyeru mereka yang suka kepada hiburan ini hadir ke konsert-konsert nasyid dan Islamic yang kita adakan. Hidayah milik Allah, tetapi kita yang perlu berusaha. Memang pedih dan banyak tribulasi dalam berdakwah, bersabarlah.

Sunday, July 12, 2009

Generasi Muda Islam Mampu Melakukan Perubahan



Ayuh bangkit Wahai Orang Muda!! Demi Islam Tercinta!!

Tahniah Anak Muda


Tahniah buat Gabungan Mahasiswa ISlam SeMalaysia (GAMIS) kerana berjaya menganjurkan Kongres Pertama Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (Ko-SPIN'09) dengan kehadiran seramai lebih 300 orang peserta dari pelbagai agensi dan tempat. Kongres ini telah dirasmikan oleh YB. Dato Khalid Ibrahim (Menteri Besar Selangor) dan walau pun kongres ini berlangsung di Muzium Sultan Shah Alam namun ia tidak bermaksud hasil atau resolusi daripada kongres ini akan menjadi barang pameran di muzium tersebut tetapi akan dan mampu memeberi suntikan baru kepada sistem pendidikan di Malaysia.

Semangat yang ditunjukkan oleh pimpinan gamis dan pelaksana kongres membuktikan bahawa mereka benar-benar ikhlas berjuang untuk menyelamatkan generasi masyarakat Malaysia yang mengikuti sistem pembelajaran sekarang ini. Kerana setiap daripada kita sudah semestinya dapat melihat lihat dengan mata kepala kita sendiri apa yang telah berlaku ke atas masysrakat sekarang khususnya remaja-remaja yang masih di alam persekolahan. Walau pun pelbagai halangan dan dugaan yang terpaksa dihadapi oleh mereka beberapa bulan sebelum terlaksananya kongres ini dengan beberapa pihak yang tidak mahu memberi kerjasama malah terdapat beberapa siri untuk menggagalkan kongres yang murni ini. Namun halangan-halangan yang datang berjaya di atasi dengan pertolongan daripada Allah S.W.T.

Semoga mereka dapat merialisasikan resolusi yang telah disepakati oleh mejoriti yang hadir. Malah sebenarnya tugas ini ialah tugas kita bersama dalam memastikan Sistem Pendidikan di negara kita akan berubah kepada sistem yang Islamic, Insya'Allah. Moga generasi yang bakal memimpin negara ini ialah mereka yang mendapat pendidikan atau tarbiah Islam yang sebenar.

Islam memimpin perubahan.

Tuesday, June 23, 2009

Sistem Pendidikan Kita Mampu Melahirkan Pakar dan Cerdik Pandai

Pendidikan tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan. Sekiranya ianya berjauhan antara satu sama lain maka akan ada masalah pada kehidupan seseorang itu.

Memang benar, tanpa pendidikan pun seseorang itu boleh hidup tetapi sangat ketara perbezaannya. Sebagai contoh, Orang yang mendapat pendidikan berkaitan kedoktoran atau kejururawatan daripada seseorang yang pakar tentang ilmu perubatan tentu dia tahu bagaimana untuk merawat orang yang sakit. Berbeza dengan orang yang tidak mendapat pendidikan kedoktoran, dia tidak akan tahu bagaimana untuk merawat orang yang sakit apatah lagi jika melibatkan pembedahan. Nampakkan?

Kalau yang tadi tidak mendapat pendidikan langsung tetapi kali ini bagaimana pula kalau yang mendapat pendidikan daripada yang bukan pakar perubatan tetapi main logik akal je. Yang ini lagi bermasalah kerana kemungkinan dapat merawat orang yang sakit dan kemungkinan rawatannya akan menyebabkan pesakit terbunuh.

Saya ingin membawa anda untuk melihat kehidupan anak-anak dan remaja sekolah di negara kita hari ini. Apa yang kita lihat, kehidupan mereka mejoritinya tidak lagi menggambarkan seorang muslim. Jauh sekali sekiranya kita hendak lihat masyarakat muslim dalam sebuah negara yang katanya negara Islam. Walaupun mereka telah diberi pendidikan bermula dari umur 5 atau 6 tahun tetapi kes-kes gejala sosial dan jenyah semakin meningkat seperti mana kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua polis negara baru-baru ini. Semacam ada yang tidak kena dengan pendidikan di sekolah-sekolah dalam negara kita hari ini.

Apa yang saya mahu tekankan pada penulisan saya kali ini adalah berkaitan pendidikan Islam dalam kehidupan masyarakat hari ini. Walaupun sudah ada mata pelajaran ini di sekolah menengah mahu pun di sekolah agama, namun ia seperti tidak memainkan peranan besar dalam kehidupan masyarakat hari ini. Kenapa begini? Adakah kerana pelajar sekadar belajar hanya untuk dibawa ke dalam peperiksaan sekolah, mereka tidak benar-benar mengaplikasikan apa yang dipelajari ke dalam kehidupan harian. Namun mungkin juga masalah ini datang dari guru yang mengajar. Kebanyakan guru hari ini datang ke sekolah atas dasar disiplin sekolah yang mendesak mereka untuk datang, masuk kelas, habiskan silibus mata pelajaran kemudian siapkan laporan, pulang apabila tamat waktu sekolah dan terima gaji bila tiba masanya. Saya tidak maksudkan semua guru cuma sebilangan besar sahaja dan mereka mungkin tidak mendapat pendidikan untuk menjadi seorang guru yang bercirikan Islam.

Berbeza dengan guru-guru pondok dahulu apatah lagi yang bergelar tok guru. Mereka benar-benar mengamalkan disiplin ilmu yang berteraskan Islam dan mereka sangat disegani lagi dihormati oleh anak muridnya juga masyarakat sekeliling. Tetapi hari ini guru yang terpaksa senyap apabila murid bersuara dan yang lebih dasyat apabila sudah wujud gejala guru dibuli dan dibelasah oleh anak murid sendiri. Perkara ini bukan perkara yang remeh tetapi ia mengambarkan betapa negara akan mengalami kehancuran nilai-nilai kemanusian.

Oleh kerana itu, sesuatu perlu dilakukan untuk merawat masyarakat kita pada hari ini terutamanya golongan pelajar yang semakin parah kerana mereka bakal mengambil alih kepimpinan negara suatu masa nanti. Contoh yang saya bawa di awal tulisan saya iaitu hanya yang mencipta mampu membaiki ciptaannya. Maksudnya, hanya dengan pendidikan yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah mampu menyelamatkan manusia dari kebinasaan.

Tapi ustaz, kenapa yang ambil pendidikan Islam pun 2x5 teruknya? Perubahan perlu dilakukan. Mungkin langkah pertama dengan mengkaji balik silibus yang terdapat dalam mata pelajaran pendidikan Islam itu. Kedua dengan sistem atau disiplin sekolah dengan sistem Islam. Seterusnya, semua mata pelajaran termasuk sains dan matematik perlu berkait langsung dengan ilmu Islam atau lebih tepat lagi proses pengajaran dan pembelajaran menyentuh isi kandungan al-Quran dan as-Sunnah. Cuba bayangkan sekiranya sistem pendidikan Islam dititik beratkan dalam sistem kehidupan, betapa saya merasakan harmoninya hidup. Gejala sosial dapat dapat dibanteras, jenayah dapat diatasi dan suasana pemelajaran sentiasa harmoni dan mendapat Rahmat dan Berkat. Maka akan tumbuhlah pakar-pakar dan cerdik pandai yang berakhlak Islamiah seperti tumbuhnya cendawan selepas hujan. Wow, amat menarik sekali.!

Akhir kalam, bersama kita ke arah merejuvenasi pendidikan Islam yang bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah ke arah impian yang telah saya pacakkan di atas.

Saturday, June 13, 2009

Serangan Melampau

Serangan yang dilakukan ke atas jemaah yang sedang mengerjakan solat di masjid baru-baru ini boleh saya katakan serangan yang melampau. Sudah lama berlaku pergolakan di Selatan Thailand tetapi kali ini mereka yang tidak punyai perasaan sanggup menjadikan masjid sebagai tempat serangan, tidak ubah seperti zionis Israel lakukan terhadap penduduk islam di Palastin.

Sebagai umat islam, kita amat bersimpati di atas kejadian yang menimpa umat islam si seberang sana. Umat Islam di Selatan Thailand juga merupakan saudara kita sama seperti saudara kita di Palastin. Bantulah saudara kita, paling tidak pun kita mampu berdoa untuk keselamatan mereka. Saya memuji Gerakan Islam di Malaysia, apabila pemimpinnya Dato' Seri Abdul Hadi Awang menyatakan, "PAS bersedia untuk memainkan peranan penting untuk menyelesaikan konflik di Selatan Thailand jika mendapat jemputan".

Selatan Thailand bergolak lagi pada 9 Jun lalu bila 11 jemaah ditembak ketika solat isyak di Masjid Al-Furqan di Kampung Air Tempayan, Sungai Golok kira-kira pukul 8.50 malam (waktu Malaysia).

Setelah melepaskan tembakan dari dua pintu masuk masjid, enam penyerang itu dikatakan masih tidak berpuas hati dan masuk ke dalam masjid sebelum melepaskan beberapa das lagi tembakan bagi memastikan jemaah terbabit benar-benar mati.

Tragedi terbaru yang menjadikan masjid sebagai sasaran, berlaku pada hari yang sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melawat Malaysia dan memperbaharui komitmen untuk mengakhiri konflik yang berlarutan sejak 2004 di wilayah bergolak itu.

Kejadian itu menambahkan jumlah korban yang kini mencecah lebih 3,700 orang dan masyarakat Islam di wilayah itu bimbang kejadian lebih buruk akan menyusul semula dan ramai yang percaya kejadian terbaru didalangi pihak berkuasa.

Bagaimanapun sehingga kini masih belum dapat dipastikan motif sebenar pembunuhan kejam itu tetapi ada yang berpendapat berpunca daripada dendam dan pihak tentera Thai menafikan sebarang pembabitan anggota mereka.

Kami pemuda Islam Malaysia mengutuk tindakan kejam pengganas ke atas umat Islam di Selatan Thailand.

Friday, June 12, 2009

Bidadari

Bidadari adalah wanita syurga yang disediakan sebagai ganjaran bagi hamba-hambaNya yang taat. Tiada kata seindah bahasa yang dapat menggambarkan kecantikan bidadari. Kejelitaannya tidak dapat dikiaskan dengan benda-benda di dunia ini. Keharumannya tidak ada menyamai sesuatu pun wangian yang ada di alam ini. Segala kenikmatan terkumpul di dalamnya yang tidak pernah terlintas di mata dan hati.

Bidadari salah satu perbendaharaan kenikmatan syurga yang ghaib dan misteri, namun ia wujud yang sentiasa menanti dan merindui para kekasihnya. Bidadari sebagai isteri yang suci, disudut matanya penuh keindahan, sebaya umurnya, sangat putih, cantik berseri wajahnya, gadis-gadis remaja dan sekiranya bidadari ini meludah di samudera nescaya airnya menjadi tawar, kerana tawarnya ludah bidadari. Begitulah keistimewaan bidadari yang Allah s.w.t janjikan bagi insan yang beriman.

Menikmati taman kenikmatan syurgawi merupakan impian setiap insan, kerana sesungguhnya tiada kenikmatan yang paling bermakna melainkan kenikmatan menghirup kebahagiaan di akhirat nanti. Semoga kita termasuk insan yang diredhaiNya, insya'Allah.