Thursday, October 30, 2008

Sunday, October 26, 2008

Apakah sistem kapitalis?

Oleh Muhammad Salleh (September 2002).

Kita kini sedang menghayati sebuah dunia di mana kekayaan sedang diciptakan pada kadar yang tidak dapat dibayangkan oleh generasi-generasi dahulu. Kejayaan-kejayaan teknologi, seperti kejuruteraan genetik dan dunia Internet, sedang berkembang dengan pesat. Semua ini, kita diberitahu, adalah hasil daripada kejayaan sistem kapitalis. Menurut penyokong-penyokong sistem kapitalis di merata dunia, sistem inilah yang telah membolehkan umat manusia mencapai tahap kemajuan yang tinggi, lantas menjadikan sistem kapitalis sebuah sistem sempurna, yang tidak lagi dapat diubahkan.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa buat kali pertama dalam sejarah dunia, kita mempunyai kekayaan yang mencukupi untuk memuaskan keperluan-keperluan setiap insan di dunia. Namun, apa yang tidak dikatakan oleh penyokong-penyokong kapitalisme itu adalah bahawa berjuta-juta orang masih mengalami kebuluran, berjuta-juta orang masih mengalami penyakit yang mudah dicegah, kehidupan berjuta-juta orang masih dikecewakan oleh kemiskinan. Masyarakat kita, iaitu masyarakat kapitalis, dikuasai oleh ketidak-samarataan dan ketidak-adilan, sambil kehidupan kita semua diancam oleh krisis ekonomi dan konflik bersenjata. Pada masa apabila sistem kapitalisme masih muda, Karl Marx sudah melihat percanggahan-percanggahan ini dengan jelas, lalu menulis:
Dalam satu tangan, kuasa-kuasa perindustrian dan saintifik telah memasuki kehidupan, yang mana-mana zaman sejarah manusia lalu tidak pernah mengharapkan. Dalam tangan sebelah wujudnya ciri-ciri kereputan, yang jauh melintasi kengerian Empayar Rom. Pada hari-hari ini, semuamya seolah-olah hamil dengan percanggahannya. Jentera, dihadiahkan dengan kuasa memendekkan dan meringankan usaha manusia, kita melihat melaparkan dan membebankan manusia. Sumber-sumber kekayaan luas, oleh sesuatu keajaiban luarbiasa, diubahkan menjadi punca-punca keperluan.
Di sebalik perbincangan-perbincangan seperti ini, terdapat satu persoalan asas, iaitu apakah sebenarnya sistem kapitalis? Apakah ciri-ciri asas sistem tersebut, dan apakah kesan daripada ciri-ciri tersebut? Pada pandangan pertama, jawapan kepada soalan-soalan seperti ini mungkin dikatakan ringkas. Bukankah sistem kapitalis sebuah sistem di mana beberapa individu yang kaya memiliki kilang-kilang, pejabat-pejabat dan perusahaan-perusahaan yang lain? Bukankah pihak kapitalis menyokong pasaran bebas, tanpa apa-apa perancangan terpusat? Namun, dewasa kini, persoalan-persoalan tersebut tidak dapat ditangani dengan begitu mudah. Misalnya, kebanyakan perusahaan gergasi kini tidak lagi dimiliki oleh seorang individu, tetapi mungkin digerakkan oleh pejabat perusahaan atau kerajaan negara. Walau apapun perbezaan-perbezaan ini, yang jelas adalah bahawa para pekerja dan golongan bawahan terus dieksploitasi dan ditindas di bawah sistem kapitalis ini.
Maka, erti kapitalisme perlulah dikaji dengam menyeluruh dan disesuaikan dengan perkembangan ekonomi mutakhir. Dari segi ini, kajian Karl Marx terhadap sistem kapitalis sangatlah penting, kerana, dalam kata-kata Georg Lukacs, teori Marx teori Marx, “meleburkan wajah pertubuhan-pertubuhan sosial yang kaku, tidak bersejarah dan semulajadi; ia mendedahkan punca-punca bersejarah mereka dan maka menunjukkan bahawa ianya tertakluk kepada sejarah dari setiap segi termasuk kemunduran bersejarah.” Marx telah menunjukkan bahawa tindakan manusia pada masa yang lalu telah menciptakan dunia moden, bahkan juga bahawa tindakan manusia dapat membentukkan masa depan yang bebas dari percanggahan-percanggahan kapitalisme.
Berhadapan dengan pendekatan ini, kita perlulah terlebih dahulu mengkaji sejarah sistem kapitalis untuk mengenalpasti ciri-cirinya. Sebelum bangkitnya sistem kapitalis, iaitu semasa wujudnya sistem feudal, manusia belum lagi memajukan cara-cara untuk menguasai dunia semulajadi, atau untuk menghasilkan barangan yang mencukupi bagi setiap insan. Marx telah menulis bahawa kesemua hubungan-hubungan sosial dalam sistem feudal “diikat kepada tahap perkembangan kuasa-kuasa produktif dan tenaga pekerja yang rendah serta hubungan-hubungan terhad di antara manusia dan proses menciptakan dan menghasilkan semula kehidupan materialis mereka, dan maka juga hubungan-hubungan terhad di antara manusia dan alam.”
Dalam sistem feudal, tanah merupakan sumber pengeluaran. Inilah yang dimaksudkan oleh Marx apabila dia menulis bahawa “Dalam permilikan tanah feudal, kita sudah menjumpai penguasaan tanah sebagai kuasa sesuatu yang asing ke atas manusia. Hamba serf adalah sampingan kepada tanah. Serupa dengan itu, pewaris melalui sistem pewarisan feudal, iaitu anak lelaki sulong, dimiliki oleh tanah. Ia mewarisi dia.” Dalam satu tangan, tahap kuasa-kuasa produktif yang rendah bermakna usaha berterusan bagi golongan petani, sambil dalam tangan sebelah, tuan-tuan feudal dan pegawai-pegawai gereja mengambil apa yang mereka menghendaki dari petani dengan kekuasaan.
Hubungan-hubungan sosial dalam masyarakat feudal merupakan hubungan-hubungan penguasaan dan penaklukan, tetapi ia sudah jelasnya merupakan hubungan-hubungan sosial di antara individu-individu. Dari segi ini, batasan-batasan feudalisme sangatlah berbeza daripada dinamik kapitalisme. Pihak borjuasi muda menginginkan sebuah masyarakat di mana segalanya dapat dijual-beli dengan duit. Sebuah masyarakat seperti itu sudah pasti bergantung kepada pembatasan-pembatasan tanah bersama dengan kejam. Ini bermakna bahawa, buat kali pertama dalam sejarah manusia, majoriti masyarakat dinafikan jalan secara langsung kepada pengeluaran dan cara-cara menciptakan kekayaan. Maka, pada abad ke-17 dan ke-18 di Eropah, sebuah kelas pekerja yang tidak memiliki tanah telah ditaklukkan kepada bentuk pengeksploitasian yang baru, iaitu pekerjaan bergaji.

Pendek kata, kapitalisme melibatkan perubahan asas dalam hubungan-hubungan di antara manusia, peralatan-peralatan pengeluaran dan bahan-bahan pengeluaran.” Oleh kerana perubahan-perubahan asas ini, setiap aspek kehidupan manusia telah diubah. Namun, perubahan-perubahan ini hanya dapat dilaksanakan melalui apa yang Peter Linebaugh telah menamakan ‘serangan-serangan perundangan’ pada hujung abad ke-18 untuk memperdayakan kelas pekerja bahawa apa yang mereka menghasilkan sebenarnya dimiliki oleh pihak kapitalis yang memiliki kilang-kilang. Menjelang abad ke-19, pekerjaan bergaji telah menggantikan kesemua bentuk pembayaran yang lain di Eropah.

Kajian Marx terhadap sistem kapitalis muda pada abad ke-19 menunjukkan bagaimana tenaga pekerja telah menjadi sebuah komoditi, yang dapat dijual-beli pada pasaran. Pihak kapitalis dan para pekerja mungkin bebas dari satu sama lain dari mana-mana segi rasmi, tetapi dalam realiti mereka berkait rapat. Pengeluaran barangan tidak lagi berlaku di rumah atau bengkel-bengkel kecil (seperti dalam sistem feudal), tetapi kini berlaku di kilang-kilang baru di mana mekanisasi tenaga pekerja telah mengubah hubungan-hubungan manusia. Dalam karyanya yang terpenting, iaitu Kapital, Marx membandingkan usaha tukang-tukang kraf di bawah sistem feudal dengan pekerja kilang di bawah sistem kapitalis:

Dalam kraftangan dan pengeluaran, para pekerja menggunakan peralatan; di kilang, jentera menggunakan pekerja. Di sana, gerak-geri peralatan tenaga pekerja bergerak baginya, di sini ia adalah gerak-geri jentera yang mesti mengikutinya. Dalam pengeluaran, para pekerja adalah sebahagian daripada mekanisme hidup. Dalam kilang, kita mempunyai mekanisme tanpa kehidupan yang asing daripada pekerja, yang hanya menjadi sampingan hidup.

Salah satu ciri kapitalisme yang paling membinasakan merupakan pembahagian tenaga pekerja. Sebelum kapitalisme, memang terdapatnya pembahagian tenaga pekerja secara sosial, dengan orang-orang berbeza telibat dalam cabang-cabang pengeluaran atau kraf yang berbeza. Dengan kapitalisme telah bangkitnya pembahagian tenaga pekerja secara terperinci dalam setiap cabang pengeluaran. Pembahagian tenaga pekerja ini bermakna bahawa pekerja terpaksa menjadi khusus dalam tugas-tugas tertentu. Maka, tidak menghairankanlah bahawa John Ruskin pernah menulis bahawa pembahagian tenaga pekerja adalah ungkapan palsu kerana ia adalah manusia yang dibahagikan.

Dalam sistem kapitalis, para pekerja semakin bergantung kepada pihak kapitalis yang memiliki cara-cara pengeluaran seperti kilang-kilang dan pejabat-pejebat. Ia menjadi semakin mustahil bagi pekerja untuk hidup secara bebas daripada kapitalisme – jika dia bekerja, dia menjadi ibarat sebuah jentera; jika dia tidak bekerja, dia akan hidup dalam kemiskinan. Marx menulis mengenai para pekerja: “Kewujudan kapital adalah kewujudannya, kehidupannya, kerana ia menentukan kandungan kehidupannya dalam cara yang tidak mempedulikannya.” Pendek kata, para pekerja tidak mempunyai pilihan – bersedia bekerja atau bersedia mengalami kemiskinan. Maka, di bawah kapitalisme, tenaga pekerja menjadi tenaga pekerja yang dipaksa kerana para pekerja tidak dapat memilih untuk tidak bekerja, para pekerja tidak memiliki apa yang diciptakan oleh mereka dan para pekerja tidak dapat memilih apa yang patut diciptakan. Marx menulis:

… pekerja hanya merasai dirinya apabila tidak bekerja; apabila dia bekerja, dia tidak merasai dirinya. Dia berasa selesa apabila tidak bekerja, dan bukannya di rumah apabila dia bekerja. Maka usahanya bukan secara sukarela tetapi dipaksa, ia adalah tenaga pekerja dipaksa. Maka, ia bukan kepuasaan sesuatu keperluan, tetapi hanya cara untuk memuaskan keperluan tersebut secara asing daripadanya. Sifat asingnya ditunjukkan dengan jelas oleh fakta bahawa sesudah apa-apa fizikal atau pemaksaan lain wujud, ia dipulaukan seperti wabak penyakit.

Di sini, kita dapat merumuskan perbincangan di atas dengan kata-kata berikut. Marx sebenarnya tidak menganggap permilikan alat-alat atau cara-cara pengeluaran oleh individu sebagai masalah utama kapitalisme. Dalam kajiannya ke atas sistem tersebut, yang menjadi jelas adalah bahawa dia menolak situasi di mana cara-cara pengeluaran dikuasai oleh sebuah minoriti (iaitu kelas kapitalis atau borjuasi), dengan tujuan mengeksploitasi majoriti (iaitu kelas pekerja). Pengeksploitasian ini dapat mengambil pelbagai bentuk dalam hubungan-hubungan sosial di antara manusia. Seperti yang telah dikatakan di atas, para pekerja tidak memiliki cara-cara pengeluaran, dan terpaksa menjual satu-satunya komoditi yang dimiliki mereka, iaitu tenaga pekerja mereka. Inilah satu sebab mengapa kemungkinan untuk merancangkan jalan-jalan ekonomi demi kepentingan masyarakat umum tidak dapat bangkit dalam keadaan seperti ini.

Tambahan pula, setiap kapitalis didoring untuk bersaing demi memajukan perusahaannya sambil mengorbankan orang yang lain. Marx telah melaungkan: “Akumulasi! Akumulasi! Itulah nabi-nabi baginya.” Ini bermakna bahawa kapitalis yang kuat memakan kapitalis yang lemah, dan bahawa sistem kapitalis akan merosot dengan dramatik apabila mengalami krisis ekonomi.

Sejak abad ke-19, sistem kapitalis ini telah menyebar ke setiap penjuru dunia, dan mungkin tidak terdapatnya negara yang bebas daripada cengkamannya. Inilah sebab utama mengapa kajian Marx sangatlah relevan dan penting pada hari ini. Cara-cara pengeluaran masih dikuasai oleh golongan minoriti, biarpun di sebuah negara membangun seperti Malaysia atau sebuah negara maju seperti Amerika Syarikat. Walaupun bentuk persaingan kapitalis mungkin berbeza dari satu tempat ke tempat yang lain, hasilnya sentiasa sama: “Akumulasi! Akumulasi! Itulah nabi-nabi baginya.” Dan para pekerjalah yang menjadi mangsa.

Maka, apa yang dapat dilakukan? Kajian Marx juga telah mengenalpasti kelas pekerja sebagai unsur yang dapat menumbangkan sistem kapitalis dan mengubah masyarakat. Walaupun pihak borjuasi atau kelas pemerintah dapat menggunakan penguasaan mereka ke etas ekonomi untuk menguasai kanca politik melalui kerajaan, tentera dan polis, kejayaan sistem mereka juga mewujudkan sebuah kelas yang mempunyai kuasa untuk membebaskan seluruh umat manusia – iaitu kelas pekerja. Kelas pekerja ini tidak mengenali warna kulit, jantina, orientasi seksual, mahupun sempadan negara. Hanya kelas pekerja sendiri yang dapat membina sebuah masyarakat tanpa keperluan dan tanpa diktator kerana kelas pekerja sememangnya berbeza daripada kelas-kelas yang lain. Kini terdapatnya beratus-ratus juta pekerja dan jumlah mereka semakin meningkat setiap hari. Kerana kapitalisme merupakan sistem antarabangsa, ia terus mengembang dan mengerjakan mereka yang suatu hari nanti akan memusnahkan sistem kapitalis itu.

Kemampuan unik kelas pekerja untuk mengubah dunia berpunca dari kedudukan kelas tersebut dalam sistem kapitalisme. Secara asasnya, kapitalisme menarik penduduk dari desa dan menghimpunkan mereka di tempat-tempat bekerja yang besar. Maka, para pekerja mendapati bahawa mereka telah menjadi sebahagian daripada unit yang melibatkan beratus-ratus atau beribu-ribu orang. Untuk mencapai pembaikan dalam keadaan mereka, para pekerja perlulah bertindak secara kolektif, dengan melibatkan rakan-rakan sekerja mereka. Untuk mengubah dunia, kelas pekerja perlulah bersatu di bawah panji-panji demokratik lagi sosialis.

Friday, October 24, 2008

Kesal Forum Bicara Siswa RTM1 sekat kebebasan bersuara

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Hrkh) - Sebahagian mahasiswa yang mengikuti Forum Bicara Siswa yang disiarkan menerusi saluran RTM1 bertajuk "AUKU: Apa Masalahnya?" melahirkan rasa kecewa apabila dihalang daripada mengemukakan soalan dan menyampaikan pandangan dalam forum tersebut.

"Saya tampil mempersoal Perkara 15 dan 16 AUKU, tetapi dihalang oleh pihak 'tertentu' ketika sesi Q&A (soal-jawab) dibuka. Walhal, pihak-pihak lain dibenarkan menyampaikan pandangan mereka," jelas Que Lin, 24.

Beliau yang juga ahli Student Progressive Front (SPF) memaklumkan bahawa beliau ingin bertanya mengenai AUKU yang bertentangan dengan hak kebebasan bersuara, berhimpun, berpersatuan, kesamarataaan di sisi berdasarkan Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan serta ketinggian perlembagaan menurut Artikel 4, dan beberapa perkara lagi kepada ahli panel Dr Yusri.

Beliau yang juga Sukarelawan Malaysia Youth and Student Democratic Movement (DEMA) juga memaklumkan bahawa beberapa staff Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan beberapa figur utama Aspirasi mengancam teman-temannya dengan mengambil gambar secara paksaan; hanya kerana mereka memakai baju-T DEMA.

Menurut web pro-mahasiswa USM, Yang Dipertua MPP USM, Muhammad Sukri Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Che Mat secara emosional menyelar pemimpin-pemimpin ProM USM kerana tidak tampil berdebat supaya AUKU ini dimansuhkan.

Pengerusi ProM USM ketika dihubungi dan diminta mengulas insiden tersebut, secara sinis berkata, "Orang-orang 'tertentu' yang biasa (berlatih) bersilat sorang-sorang (seorang diri) di dalam gelanggangnya ... selalunya memang syok sendiri dan berasa diri terlalu kuat.

"Biasalah, kerana yang ditumbuk dan tendang (beradu intelektual) oleh mereka adalah angin atau bayang-bayangnya sendiribukan pesaing yang sebenar."

Adi Syahid juga mengalu-alukan seluruh mahasiswa USM dan pemimpin-pemimpin Aspirasi sendiri untuk turut serta dalam Forum Terbuka Generasi Baru dan Masa Depan Malaysia pada Khamis depan.

Seorang mahasiswa Cina lain, Chua Thea Leng, 22 menjelaskan bahawa forum tersebut tidak membahaskan AUKU secara holistik, lebih partisan pada pihak-pihak 'tertentu'.

Beliau juga melahirkan rasa kehairanan tentang sikap penganjur rancangan forum tersebut yang membuka sesi soal-jawab hanya kepada pihak-pihak 'tertentu' sahaja.

Tambahnya, forum tersebut dianggap olehnya tidak dimaklumkan pada peringkat awal kerana tiada publisiti terbuka, seperti aktiviti-aktiviti rasmi lain Universiti.

Beliau sendiri mendapat sms kira-kira jam 7.40 malam semalam dari individu yang tidak dikenali dan mengarahkannya wajib menyertai forum tersebut.

Selain Che Mat, panel forum 'berat sebelah' tersebut turut disertai oleh anggota MPP UUM, Raihanah; dan Timbalan Dekan Perakaunan, Perniagaan dan Pengurusan, Dr Yusserrie Zainuddin.

Dr Yusserrie dalam satu penjelasannya turut menyatakan AUKU tidak ada masalah dari segi undang-undang, hak asasi manusia dan universiti sendiri.

Beliau juga banyak menjelaskan keadilan hak dalam Perkara 15 dan 16 AUKU tersebut menurut disiplin undang-undang yang dipelajarinya.

Perkara 15 AUKU umumnya menjelaskan tentang larangan mahasiswa dan pertubuhan mahasiswa untuk melibatkan diri dalam aktiviti luar walaupun aktiviti tersebut yang sah dan selari dengan jaminan hak bersuara, berhimpun dan berpersatuan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 16 AUKU umumnya menjelaskan tentang supreme power, walaupun kuasa ini acapkali disalahgunakan oleh pihak-pihak 'tertentu' sehingga meninggalkan liabili negatif kepada NC yang adil; demi menekan aktivis-aktivis mahasiswa yang lantang dalam Universiti.

Forum tersebut bermula pada jam 8.30 malam dan berakhir sekitar jam 10.30 malam semalam.

Pelajar yang hadir menganggap program tersebut sebagai medium merehatkan minda mereka dalam musim peperiksaan akhir semester ini. - mr_

Monday, October 20, 2008

MELAYU

- Usman Awang

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau
memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka

-DR usman awang,

Sunday, October 19, 2008

Kenapa Ahklak Remaja Semakin Hilang??

Pelajar tendang guru



GAMBAR rakaman video telefon bimbit merakamkan pelajar perempuan sebuah sekolah di Kangar menumbuk dan menendang Azahana (gambar kecil) di dalam kelas, pagi semalam.

KANGAR: Seorang guru di sebuah sekolah menengah, di sini, mendakwa diserang sekumpulan pelajar termasuk diterajang berkali-kali pada perut oleh salah seorang daripada mereka di dalam bilik darjah sekolah terbabit... (untuk berita leih lanjut sila layari : http://www.bharian.com.my/Friday/Nasional/20081017094145/Article/index_html )


Petikan diatas merupakan satu kejadian yang terjadi pada hari ini. Mungkin 20 tahun sebelum ini tidak terlintas difikiran kita akan ada pelajar yang akan melakukan perkara sedemikian terhadap gurunya sendiri. Ini kerana pelajar dahulu benar-benar menghormati guru mereka. Tetapi kejadian yang berlaku baru-baru ini mugkin telah menyedarkan kita setinggi manakah tahap nilai akhlak dalam diri remaja di negara kita ini. Adakah kita merelakan dengan apa yang berlaku sekarang ini? Adakah kita terfikir mengapa perkara ini terjadi?

Bila meyentuh perkara yang berkaitan akhlak dan moral remaja ini, ramai dikalangan kita menyalahkan ibu-bapa. Kita tidak sepatutnya memandang 'enteng' terhadap perkara ini terutamanya 'Pak-pak menteri' yang ada sekarang ini. Kerana apa? Kerana perkara ini melibatkan suatu rangkaian yang besar di dalam negara, maksudnya di sini adalah masalah keruntuhan kahlak tidak hanya di letakkan kepada ibu-bapa sahaja bahkan memerlukan kerjasama daripada guru di sekolah kerana boleh dikatakan separuh hari remaja ini berada di bawah jagaan pihak sekolah oleh itu guru dan juga pntadbiran sekolah perlu memikul tanggung jawab untuk membentuk nilai akhlak dalam diri setiap remaja ini.

Kita semua sedia maklum bahawa ibu-bapa tidak mungkin akan dapat bersama dengan remaja ini untuk mengawasi aktiviti mereka. Walaupun mereka tidak keluar melakukan aktiviti yang tidak sihat bersama rakan-rakan mereka tetapi mereka masih berhadapan dengan cabaran yang besar iaitu bahan bacaaan dan alat elektronik seperti televisyen, komputer, pemain DVD, dan pelbagai lagi peralatan yang canggih termasuklah telefon bimbit. Kenapa benda ni pun nak dipersalahkan?? Alatan tersebut tidak salah tetapi yang berlaku adalah penyalahgunaan alatan tersebut menebabkan mereka akan mudah dipengaruhi oleh budaya yang kurang sopan melalui televisyen, komputer, majalah, dan bermacam-macam lagi. Oleh itu media masa turut sama memainkan peranan yang penting dalam masalah ini.

Bila kita mengambil kira semua sekali walaupun banyak lagi faktor yang mempunyai kaitan dengan keruntuhan akhlak remaja ini amat jelas sekali Sang Pemerintah merupakan pencatur utama dalam mengawal masalah akhlak remaja ini. Sang Pemerintah mempunyai kuasa untuk mewujudkan atau menghapuskan sebarang perkara yang melibatkan aktiviti dan sistem yang ada. Oleh itu langkah segera perlu dilakukan oleh Sang Pemerintah sekiranya mahu melihat Negara Malaysia yang kita cintai ini musnah suatu hari nanti bukan kerana diserang oleh pihak luar sebaliknya kerana masyarakatnya yang tidak mempunyai akhlak.

Tuesday, October 14, 2008

Ekonomi negara semakin tenat

Keadaan ekonomi dunia sekarang semakin tenat. Penulis berharap kedua-dua belah parti politik yang memerintah Malaysia dapat duduk semeja dalam membincangkan perkara yang berkaitan ekonomi. Langkah ini perlu diambil sebelum kejatuhan ekonomi yang dasyat menimpa negara ini. Masalah ini secara langsung akan memberi kesan kepada seluruh lapisan masyarakat terutamanya mereka yang dulu kini dan selamanya dalam keadaan miskin. Samada di sebelah pihak kerajaan mahupun pembangkang tidak seharusnya mengambil sikap mementingkan diri sendiri bila mana keadaan yang berlaku kini, keadaan ekonomi negara sudah berada dalam keadaan kritikal. Kerajaan negara terkaya seperti Amerika Syarikat telah pun mengambil langkah berjaga-jaga kerana ekonomi dunia akan mengalami inflasi yang teruk pada bila-bila masa.

Kita perlu bijak menilai yang mana perkara serius dan sebaliknya. Tindakan awal adalah lebih baik sebelum terlambat, bak kata orang mencegah lebih baik daripada mengubat kerana mengubat dalam keadaan sakit amat menyeksakan.


Sekadar luahan isi hati terhadap kebajikan masyarakat.

Monday, October 13, 2008

Mutu pendidikan menjunam, TNC hanya tahu mengampu PM

Mutu pendidikan menjunam, TNC hanya tahu mengampu PM
Intan Abdullah
Tue | Oct 14, 08 | 7:42:54 am MYT

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Hrkh) - Mutu pendidikan negara menjunam teruk di mata dunia akibat pemerintah hanya mampu lantik Timbalan Naib Canselor yang hanya tahu mengampu Perdana Menteri dan pandai buat sajak sahaja.

Iklan

Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim (KeADILan-Permatang Pauh) menegaskan implikasi tersebut adalah akibat kegagalan kerajaan Umno-BN yang masih mengamalkan pengurusan pendidikan secara tidak profesional.

"Sekarang ini negara kita berada dalam keadaan sangat lemah apabila kedudukan universiti kita juga berada di bawah paras 200 pada ranking kedudukan universiti dunia terbaik," katanya semasa membahaskan Belanjawan 2009 pada sidang dewan Rakyat semalam.

Tambahnya, kedudukan universiti di Beijing, Singapura malah di Chulalongkorn, Thailand juga kini telah mengatasi universiti-universiti di Malaysia.

"Hal ini adalah tidak lain kerana kerajaan melantik timbalan Naib Canselor yang pandai mengampu Perdana Menteri hanya dengan membuat sajak, bukan kerana kepakaran dan kemampuan mengurus tadbir bagi meningkatkan mutu institusi pendidikan tersebut," katanya lagi.

Pada masa yang sama, beliau turut menjawab soalan yang dibangkitkan oleh Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) yang menyatakan mengenai sikap yang diambil oleh kerajaan terhadap mahasiswa dan pensyarah di universiti.

"Kita lihat apabila Rasulullah berdoa supaya menyempurnakan adab itu dengan ilmu dan kemahiran, tetapi bagaimana hendak mencapai kesemua itu jika golongan cendekiawan dan pelajar ini dikongkong pembacaan, kenaikan pangkat disekat, - ini soal pendidikan anak-anak dihantar ke universiti yang berkualiti," ujarnya.

Jelasnya, sedangkan ia merupakan sikap yang mampu mengangkat falsafah uiversiti dengan kecekapan bagi menjana kecemerlangan rakyat.

"Tetapi tanpa semangat dan usaha yang bersungguh-sungguh bagaimana kesemua ini boleh dicapai?" katanya lagi.

Terdahulu, Salahudin menyatakan bahawa jika bangsa dan negara maju berbangga dengan universiti mereka, seperti Harvard, Tokyo, Oxford.

"Namun, bagaimana hendak meraih kecemerlangan sekiranya TNC, NC melayan pensyarah seperti guru tadika, melayan siswa seperti pelajar sekolah - ini secara tidak langsung menyekat perkembangan kreativiti mereka.

"Sudah masanya Auku, yang menghambat siswa tidak lagi disalahgunakan.

"Malah, pelajar di universiti kini tidak lagi diraikan, sebaliknya diugut, dan tidak hairanlah jika kita dengar ada maklumat yang menyatakan bahawa kerja TNC rampas laptop, kerja pensyarah rampas nota yang mana isi kandungannya pro pembangkang," tegasnya.

Ketua Umum KeADILan tersebut juga mengulangi beberapa kali mengenai tiada perbahasan yang boleh dibuat memandangkan fakta yang dikemukakan sekarang ini sudah tidak relevan. - mks. _

Sunday, October 12, 2008

Pilihan raya kampus: Mahasiswa bantah di Kementerian Pengajian Tinggi

Intan Abdullah | intan@harakah.net.my ] Foto Nasir
Fri | Oct 10, 08 | 5:55:07 pm MYT

PUTRAJAYA, 10 Okt (Hrkh) - Lebih 100 mahasiswa berhimpun di pekarangan bangunan Kementerian Pengajian Tinggi bagi menyampaikan tuntutan mereka khususnya mengenai Pilihan Raya Kampus (PRK) tidak lama lagi.



Antara fokus utama perhimpunan anjuran Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM) pada kali ini adalah untuk mendesak KPT mengumumkan segera tarikh PRK secara rasmi.

Dengan laungan 'student power' yang bergema di seluruh parcel E, Putrajaya tersebut cukup untuk menggambarkan amarah dan semangat anak-anak muda di menara gading yang menuntut pilihan raya kampus dijalankan dengan suasana demokrasi yang sebenar.

Hujan yang turun rintik-rintik pada peringkat permulaan perhimpunan tersebut sedikitpun tidak mematahkan semangat mereka dengan kain rentang dan poster yang berbunyi ' Jangan permainkan kami', 'Kami mahu pilihan raya kampus telus', PRK : Kami demokrasi mahasiswa tidak rela diperbudakkan',

ImageMereka juga menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung pelaksanaan pengundian secara online menerusi sistem pengundian e-voting dalam PRK akan datang yang dipercayai merupakan taktik untuk mengaburi keputusan PRK sebenar.

"Kami percaya sistem e-voting digunakan untuk menipu mahasiswa kerana mahasiswa tidak dibenarkan untuk melihat pengiraan undi dijalankan sedangkan berdasarkan peraturan pilihan raya, agen tempat pengiraan undi yang dilantik seseorang calon berhak untuk melakukannya," kata wakil Gamis dalam ucapannya.

Mahasiswa juga katanya, meminta agarpihak KPT khususnya pihak yang menguruskan PRK agar memindahkan pusat pembuangan undi daripada kolej kepada fakulti sepertimana yang pernah dibuat suatu ketika dahulu.

Perubahan pusat pengundian adalah dipercayai berpunca daripada kesukaran mereka untuk mencipta 'ruang' bagi melakukan penipuan terutamanya proses pengiraan yang kelihatan lebih mudah untuk diselia -sekaligus memberikan kebaikan kepada pihak pro mahasiswa.

wakil Solidariti Mahasiswa Malaysia, Hafizudin Abireirah pula menyifatkan PRK Imageyang dilaksanakan tidak ubah seperti pemilihan ketua kelas di sekolah dan tadika.

Sementara itu, menurut Koordinator Pendidikan Pengguna dan Masyarakat, Teras Pengupayaan Melayu, Zulzaidi Mahmud pula mahasiswa di kampus kini memerlukan keadilan dilaksanakan di dalam kampus tanpa perlu mengikut sahaja telunjuk pihak pentadbiran universiti.

"Mahasiswa perlu dibebaskan daripada kongkongan pentadbiran universti, bagi melaksanakan idealisme dan keadilan yang dituntut supaya dapat terlaksana sistem demokrasi tulen dalam masyarakat terpelajar.

"Ianya sekaligus menuntut agar perubahan dilakukan dalam sistem pemilihan pemimpin mahasiswa sperti mana yang berlaku dalam politik semasa tanah air pada masa sekarang," tegasnya.

Perhimpunan tersebut turut mengalami kekecohan selepas pihak keselamatan, Imageanggota polis serta sebuah trak kecil anggota simpanan Persekutuan atau FRU bertindak ganas untuk menyuraikan mahasiswa terbabit.

Pegawai Polis berpakaian preman serta pegawai-pegawai KPT pula ligat menjalankan peranan untuk merakamkan setiap aksi dan wajah mahasiswa yang turun menyertai perhimpunan tersebut untuk tujuan dokumentasi dan tindakan susulan selepas ini.

Walau bagaimanapun, ianya dapat dikawal sepenuhnya apabila Pegawai Khas Menteri KPT, Mohd Arif Adenan turun bagi menerima memorandum setebal 20 mukasurat itu.

Ianya disampaikan oleh wakil-wakil mahasiswa yang hadir di lobi bangunan KPT sambil disaksikan menerusi pintu kaca oleh kumpulan mahasiswa daripada luar.

Setelah selesai memorandum tersebut dicop sebagai tanda penerimaan secara rasmi oleh KPT, Mohd Arif menyatakan komitmennya kepada Harakah untuk Imagemenyerahkannya terus kepada menteri KPT, Dato' Seri Khaled Nordin yang kini berada di Johor Bahru.

"Saya akan terus menyampaikannya kepada dato' menteri memandangkan saya mengira hal ini adalah serius apabila mahasiswa datang beramai-ramai ke KPT menuntut hal ini diselesaikan dengan seberapa segera," katanya.

Ditanya mengenai tempoh untuk KPT memberikan maklum balas tersebut, beliau enggan mengulas sebaliknya menasihati mahsiswa agar menumpuhkan perhatian kepada akademik daripada melibatkan diri dengan urusan pemilihan MPP.

Perhimpunan diakhiri dengan nyanyian lagu negaraku sebelum sidang media oleh Pro Mahasiswa.

Turut disertai Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysiaa (Gamis), Dema,Persatuan Bahasa Tionghua Universiti Putra Malaysia, JKMI, Teras Pengupayaan Melayu dan Imagebeberapa front mahasiswa yang lain.

Tarikh PRK kini menjadi suatu teka-teki apabila ianya hanya digembar-gemburkan oleh media tertentu serta kata-kata tidak rasmi beberapa pimpinan tertinggi pentadbiran beberapa universiti.

Maklumat yang diterima Harakah, bahawa PRK kali ini akan dilaksanakan pada 12 hingga 17 Oktober bagi IPTA Pantai Timur dan Universiti Perguruan Sultan Idris, manakala bagi IPTA yang terletak di Lembah Klang pula akan dilaksanakan pada bulan Januari.

Bantahan terhadap tindakan KPT yang melambatkan tarikh tersebut timbul memandangkan kebanyakan MPP telah dibubarkan setelah ianya telah cukup tempoh 'pemerintahannya' selama setahun daripda tarikh PRK sesi lalu.

Untuk itu, mahasiswa juga meminta KPT melantik Mafrel, Suhakam, SPR dan NGO bagi memantau perjalanan PRK akan datang bagi mengelakkan berlakunya campurtangan selain memastikan perjalanan PRK kali ini berlangsung dalam suasana yang telus dan demokratik. - mks. _